Menteri Agama cadang tubuh pusat mediasi selesai isu Islam, bukan Islam

Mohd Na'im Mokhtar
Mohd Na'im Mokhtar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mencadangkan satu pusat mediasi di luar konteks mahkamah ditubuhkan bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan antara orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, proses berkenaan adalah berbentuk tidak formal dan memerlukan satu platform yang sesuai dilaksanakan untuk mereka yang menghadapi masalah dibantu secara informal dan bukan dalam konteks mahkamah.

“Hal ini kerana melibatkan pertikaian antara Islam dan bukan Islam, bapa yang bukan Islam dan ibu yang Islam dan anak yang beragama Islam tanpa memprejudiskan antara orang Islam dan bukan Islam. Selain membabitkan dua mahkamah yang berbeza iaitu sivil dan syariah.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil peluang ini dan akan menyebabkan berlaku perseteruan serta ketidaktenteraman. Kita mahu lahirkan masyarakat bersatu padu dan saling memahami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Memperkenalkan Al-Quran terbaru terbitan Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali Ke-40 di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes perebutan hak penjagaan anak selepas video rakaman yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan seorang ibu dan anak berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya.

Rakaman berdurasi 31 saat telah tular di TikTok baru-baru ini mencetuskan keresahan orang ramai kerana bapanya bukan beragama Islam.

Kanak-kanak berusia 9 tahun itu merupakan anak kepada pasangan Orang Asli yang telah bercerai dan dijaga ibunya yang telah memeluk Islam, namun menjadi mangsa perebutan hak jagaan.

Mahkamah Tinggi Kuantan kemudiannya memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya yang bukan beragama Islam menerusi perintah ’Habeas Corpus’ pada Khamis lepas.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu masih memerlukan kajian lanjut oleh pihak yang berwajib agar ianya boleh dilaksanakan menerusi proses mediasi itu, sama ada diadakan di mahkamah sivil atau sebaliknya.

“Tapi apa yang paling penting pengantara yang dilantik dalam proses mediasi itu mestilah terdiri daripada gabungan pakar undang-undang syariah, pakar undang-undang sivil dan pakar kanak-kanak.

“Saya yakin dengan cara yang informal ini dapat menyelesaikan masalah dan memberi keputusan yang adil agar kepentingan kanak-kanak tersebut terbela,” jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung penularan video ajaran sesat yang didakwa melibatkan sebuah sekolah pondok atau pesantren di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia, Mohd Na’im berkata, perkara itu di dalam perhatian pihaknya.

“Kita akan bentuk satu jawatankuasa pakar syariah secepat yang mungkin oleh pihak Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk mengkaji pesantren ini. Kemudian kajian ini akan dibawa kepada jawatankuasa muzakarah.

“Seterusnya jawatankuasa ini akan bersidang dan membuat keputusan cadangan dan akan diserahkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk diputuskan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!