Dua pemandu maut kereta terbabas

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas terlibat kemalangan di Lebuhraya Link Kedua, Taman Sri Senai, Kulai, awal pagi tadi.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas terlibat kemalangan di Lebuhraya Link Kedua, Taman Sri Senai, Kulai, awal pagi tadi.
A
A
A

KULAI - Dua maut selepas kereta dipandu mereka terbabas dalam dua kemalangan berasingan di sini malam tadi dan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kemalangan di Kilometer 28.9 Lebuhraya Link Kedua, Taman Sri Senai jam 1.18 pagi itu, pemandu kereta Perodua Viva, Muhd Afiq Ahmad, 20, maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan, Nurul Fatin Nazihah Amar, 21 mengalami kecederaan selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Ketua operasi, Pegawai Bomba Mohd Khairil Md Azami berkata, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai serta BBP Bandar Baru Kulai dengan dua jentera Fire Rescue Team (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu kereta cedera parah dan tersepit di tempat duduk pemandu manakala penumpang hadapan turut cedera tetapi tidak tersepit.

"Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Pemandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir memberi rawatan di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital berdekatan.

"Operasi tamat jam 2.24 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang maut selepas kereta Proton Saga Iswara dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kampung Seri Maju, Jalan Macap dekat sini pada jam 10.27 malam tadi.

Komander operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Mustafa Yusof berkata, sembilan anggota dari BBP Ayer Hitam dikejarkan ke tempat kejadian dengan sebuah jentera FRT.

"Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

"Mangsa, Norhaili Abu Main, 38, disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan," katanya.