Hannah Yeoh sifatkan kegusaran Kamarul Yussoff tidak berasas

Hantaran Kamarul Yusoff di Facebook beliau semalam.
Hantaran Kamarul Yusoff di Facebook beliau semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyifatkan kegusaran Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff bahawa DAP menunggang agama untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah susulan program dialog beliau bersama penganut Kristian tidak berasas.

Beliau berkata, Kamarul Yusoff sekali lagi dilihat mahu memainkan sentimen politik perkauman dan agama.

Menurut Hannah, beliau ke Sabah untuk bersama rakan-rakan Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Saya juga dijemput menyertai program Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman untuk bertemu masyarakat Kristian di kawasan beliau," katanya.

"Perkongsian saya 'Christians and Nation Building' telah diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia 'Peranan Umat Kristian Dalam Pembangunan Negara' dalam kain rentang. Urusetia penganjur mahu tajuk ditulis pada kain rentang supaya masyarakat Kristian yang datang tahu tajuk perkongsian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tentang persoalan yang dibangkitkan Kamarul Yusoff menerusi Facebooknya semalam sama ada DAP menunggang agama untuk menang PRN yang disertaka dengan poster program Dialog Bersama Hannah bertajuk 'Peranan Umat Kristian Dalam Pembangunan Negara'.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, dari segi penggunaan jata negara dalam kain rentang itu pula, kain rentang itu dibuat dan dipasang oleh pejabat Ahli Parlimen Sepanggar.

"Ramai Ahli Parlimen menggunakan jata negara dalam kain rentang atau poster mereka. Anda boleh lihat sendiri kesemua poster atau sepanduk Ahli Parlimen UMNO dan Pas yang menggunakan jata negara ketika mereka jadi pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya kongsikan (kepada penganut agama Kristian) di Sabah ialah mengenai agama Kristian dan pembinaan semula negara bersama mereka yang begitu cintakan tanah air ini.

"Lagipun menggunakan bahasa kebangsaan merupakan ciri-ciri kita sebagai rakyat Malaysia, baik di Sabah atau Sarawak. Guna bahasa kebangsaan pun salah, tak guna pun salah. Anda nak apa sebenarnya?" katanya.

Justeru, katanya, sentimen itu merupakan ‘modal’ yang masih berbaki untuk Kamarul Yusoff yang telah biasa beliau gunakan di Semenanjung.

"Malang buat diri beliau, ini ialah Sabah, Negeri Di Bawah Bayu yang begitu meraikan dan menghormati kepelbagaian. Sentimen yang beliau mainkan bukan sahaja tidak diterima di Semenanjung dan kini di Sabah juga," katanya.