SPR digesa benarkan individu positif Covid-19 mengundi

Bersih gesa SPR membenarkan individu yang disahkan positif Covid-19 untuk mengundi pada PRN Johor dengan menyediakan kemudahan yang bersesuaian.
Bersih gesa SPR membenarkan individu yang disahkan positif Covid-19 untuk mengundi pada PRN Johor dengan menyediakan kemudahan yang bersesuaian.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan individu yang disahkan positif Covid-19 untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menyediakan kemudahan yang bersesuaian.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan berkata, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR yang melarang pesakit Covid-19 keluar membuang undi telah melanggar Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada pemilih untuk mengundi.

Menurutnya, SPR sebagai badan yang diberikan kuasa untuk menjalankan proses pilihan raya seharusnya mewujudkan mekanisme yang terbaik supaya pemilih dapat menjalankan hak dan bukannya menghalang mereka menjalankan tanggungjawab.

“Selain itu, pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) juga masih perlu memohon kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar mengundi dan bergantung kepada penilaian PKD untuk dibenarkan mengundi.

“Kebenaran mengundi atau tidak bukanlah kuasa PKD atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menentukannya kerana perlembagaan telah pun memberikan hak kepada mereka.

“Bersih menggesa SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera menjelaskan sama ada SOP ini akan menghalang pengundi positif Covid-19 dan PUI untuk mengundi,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu, Bersih turut mengalu-alukan kelonggaran SOP untuk calon dan parti politik berkempen secara fizikal dengan menganjurkan ceramah, kempen rumah ke rumah, pengedaran risalah dan menggunakan pembesar suara.

Bagaimanapun katanya, penganjuran ceramah tidak seharusnya terhad di bilik gerakan atau pejabat parti dan calon sahaja berikutan kawasannya yang sempit.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Bersih menggesa SPR mempertimbangkan semula perkara tersebut dan membenarkan penganjuran ceramah fizikal di kawasan lapang seperti padang atau tempat parkir kenderaan yang luas dengan SOP yang ketat seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan penyediaan kerusi dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Walaupun kami memahami keperluan untuk permohonan permit ceramah daripada polis, namun kami berpandangan pemberian notis ceramah sudah mencukupi untuk memaklumkan pihak polis.

“Kami mencadangkan agar pemberian notis perlu dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum ceramah dianjurkan dan sebarang pertindihan perlu mengutamakan pihak yang menghantar notis terlebih dahulu.

“Selain itu, penetapan SOP bagi pengundi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memohon kepada PDRM supaya boleh pergi ke pusat pengundian juga tidak diperlukan.

“Cukup sekadar mereka menunjukkan keputusan RTK Antigen yang negatif dan dokumen seperti semakan daftar pemilih MySPR bagi membuktikan mereka pengundi dalam PRN Johor.

“Dengan ini, beban kepada PDRM akan berkurangan dan mereka boleh menjalankan tugas untuk membantu SPR dalam penguatkuasaan perjalanan pilihan raya,” katanya.