Johor kaji undang-undang wajibkan anak sekolah agama

Hasni menandatangani plak sebagai simbolik penyerahan tiga buah SAKJ kepada JAIJ pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam di Bandar Putra, Kulai hari ini.
Hasni menandatangani plak sebagai simbolik penyerahan tiga buah SAKJ kepada JAIJ pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam di Bandar Putra, Kulai hari ini.
A
A
A

KULAI - Kerajaan Johor sedang meneliti undang-undang untuk mewajibkan ibu bapa yang beragama Islam menghantar anak mereka ke Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) pada masa akan datang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, SAKJ yang merupakan institusi pendidikan Islam penting di negeri ini akan memainkan peranan besar dan sama taraf sebagaimana sekolah aliran lain.

"Pada masa kini sedang dibuat semakan penelitian undang-undang berkaitan persekolahan agama yang menyatakan mana-mana ibu bapa yang gagal menghantar anak tanggungannya ke sekolah agama, boleh diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor di Bandar Putra di sini hari ini.

Perasmian majlis itu serentak dengan pelancaran kitab Kesultanan Islam Johor yang akan menjadi subjek bahan pengajaran di semua SAKJ disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Dalam majlis itu turut diserahkan plak sebagai simbolik penyerahan tiga buah SAKJ kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) iaitu Sekolah Agama Ibnu Sina (Fasa 5), Sekolah Agama Senai Jaya (Fasa 5) dan Sekolah Agama Bandar Putra 2.

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Pengarah JAIJ, Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Tosrin berkata, pendidikan agama Islam di negeri ini kini juga ke arah pendigitalan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat beberapa sekolah agama telah memulakan program digital untuk memperkasakan sesi pembelajaran dan pengajaran yang lebih sistematik dan berteknologi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kira-kira RM7 juta dibelanjakan pada tahun ini untuk membaiki kerosakan dan menaik taraf SAKJ yang sudah uzur di seluruh negeri.

"Peruntukan sudah diluluskan untuk baik pulih dan naik taraf SAKJ antaranya di Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi, Batu Pahat, Mersing dan Segamat bagi memberi keselesaan kepada pelajar," katanya.

Selepas itu Tosrin selepas itu mengiringi Hasni meninjau Sekolah Agama Bandar Putra 2 yang dibangunkan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) menerusi anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn. Bhd.

Keistimewaan projek pembangunan SAKJ itu adalah daripada segi reka bentuknya yang moden dan kondusif, dibina di kawasan berkeluasan 0.43 hektar turut mempunyai dewan terbuka, perpustakaan, bilik darjah, dewan, kantin, perpustakaan, bilik guru dan pondok menunggu bas.