[VIDEO] 'Bayar ganti rugi kepada pengguna alami gangguan bekalan air'

Marimuthu ketika bercakap pada Wacana Sinar ke-192 bertajuk 'Masalah Air, Sampai Bila?' yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini malam tadi. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Marimuthu ketika bercakap pada Wacana Sinar ke-192 bertajuk 'Masalah Air, Sampai Bila?' yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini malam tadi. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) digesa menggubal beberapa perkara dalam akta sedia ada dengan memasukkan pembayaran ganti rugi kepada pengguna jika berlaku penutupan air atau masalah air melebihi tempoh tertentu.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, setakat ini akta terbabit tidak memberikan hak ganti rugi kepada pengguna apabila berlaku gangguan bekalan air.

Menurutnya, ini amat berbeza dengan pendekatan yang diambil kerajaan United Kingdom (UK) apabila berlaku penutupan air terancang selama empat jam dan jika selepas tempoh itu air masih tiada, ganti rugi harus dibayar kepada pengguna.

Katanya, satu lagi contoh mengikut perundangan di UK apabila berlaku pencemaran air, selepas tempoh kecemasan iaitu 12 jam jika ia masih belum selesai dan pengguna tidak menerima air bersih, mereka boleh menyaman untuk mendapatkan ganti rugi.

"Jadi di Malaysia dalam keadaan air kita masih tidak mampan, saya lihat terdapat keperluan untuk SPAN kaji dan gubal satu dua perkara dalam akta mereka seperti dilakukan UK dengan memberi ganti rugi kepada pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlu ada koordinasi, elak pertindihan kuasa tangani isu air

"Jika tiada ganti rugi, akan ada banyak 'short cut' dan menyebabkan pihak pengendali air lepas tangan," katanya pada Wacana Sinar ke-192 bertajuk 'Masalah Air, Sampai Bila?' yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini malam tadi.

Beliau berkata, undang-undnag sedia ada perlu dilihat semula supaya pihak pengendali air ini lebih bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Turut menjadi panelis pada program tersebut ialah Exco Selangor, Hee Loy Sian, Pakar Governans Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abd Rahman dan Presiden Persatuan Air Malaysia, Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din serta Ahmad Fahmi Mohd Samsudin selaku moderator.

Selain itu, Marimuthu berkata, dalam isu air ini, peranan pengguna juga amat penting.

Katanya, terdapat perkara yang boleh dilakukan iaitu mewujudkan 'action community' bagi memberikan pendidikan mengenai kepentingan air kepada pengguna dan memastikan mereka mempunyai kesedaran menjaga sungai terutama bagi penduduk yang tinggal berhampiran sungai.

"Jika tidak diberikan kesedaran lebih besar, mereka tidak akan peduli. Penguatkuasaan juga perlu lebih kerap selain mewujudkan satu organisasi yang bertanggungjawab memastikan pengguna tidak menghadapi masalah air ini," katanya.

Tambahnya, isu air bukan sahaja berkaitan krisis air tak cukup atau tiada, namun perlu difahami mengenai perubahan iklim mendadak serta jumlah taburan hujan di sesetengah tempat yang turut mempengaruhinya.