1MDB: 'Bongkar sampai lubang cacing'

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan ‘mencari sampai ke lubang cacing’ untuk membongkar skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) demi memberikan keadilan kepada rakyat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penyelewengan dana syarikat tersebut telah pun dibongkar banyak pihak dan pembangkang tidak harus lagi menafikannya.

“Jika pembangkang tak nak akui ini, saya rasa ini tidak menjalankan tanggungjawab dan tidak menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen kepada rakyat Malaysia,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) bertanyakan sama ada trade misinvoicing telah menyebabkan pengaliran keluar wang haram di Malaysia pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Lim berkata ia cuma antara faktor, manakala semua pihak tidak harus menafikan bahawa punca lain seperti amalan rasuah dan skandal 1MDB yang telah membawa kepada masalah aliran keluar wang haram sehingga menyebabkan keparahan kedudukan fiskal negara.

Beliau turut menempelak pembangkang dan menyifatkan mereka sebagai burung unta yang sembunyikan kepala di dalam pasir kerana masih tidak dapat berdepan dengan realiti skandal tersebut.

“Pembangkang tidak boleh menafikan adanya skandal 1MBD,” katanya yang menyebabkan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mencelah dan mendakwa jawapan Lim itu tidak menpunyai fakta.

Ini menyebabkan Lim menjawab: “Itu masalah orang yang tak nak berdepan dengan realiti dan hakikat. You are just like ostrich in the sand. See no evil, hear no evil, speak no evil.

“Jangan lari dari kenyataan sedemikian, apa yang berlaku adalah satu skandal maha besar. Banyak pembongkaran sudah dijalankan, tapi tak nak diakui pihak tertentu. Tapi tak apa, baik di mahkamah ataupun dalam Dewan ini, kita akan cari sampai lubuk cacing kalau perlu untuk memberikan keadilan kepada rakyat Malaysia.

Terdahulu semasa menjawab soalan tambahan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) mengenai sama ada kerajaan akan menubuhkan satu badan untuk menyelia penggunaan bitcoin, Lim berkata ia tidak perlu memandangkan Bank Negara merupakan autoriti yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan peranan itu.
Artikel Berkaitan:


Katanya, Bank Negara juga masih mengkaji secara mendalam mengenai pengendalian teknologi kewangan yang baharu termasuk mekanisme bitcoin dan mata wang kryto.

Bagaimanapun Lim menasihatkan supaya semua pihak yang ingin memperkenalkan penggunaan mekanisme baharu ini supaya merujuk kepada Bank Negara kerana institusi itu yang akan menpunyai kata putus terhadap perkara tersebut,

“Saya ingin nasihatkan pihak yang ingin perkenal bitcoin tak kira dari pihak mana supaya rujuk kepada Bank Negara.

“Saya sebagai Menteri Kewangan pun saya rujuk kepada Bank Negara, supaya semua pihak jangan buat sesuatu tanpa garis panduan dan tanpa arahan dari Bank Negara bagi mengelakkan sesuatu yang tidak betul dan salah dari segi undang-undang,” katanya.

Menjawab soalan asal Tan, Lim memberitahu Dewan Rakyat bahawa penemuan Global Financial Integrity baru-baru ini telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 10 teratas di kalangan negara-negara membangun dengan jumlah terbesar aliran wang keluar secara haram bagi tempoh 2005 hingga 2014 sebanyak USD444.6 bilion (RM1.8 trilion).

Katanya, punca utama aliran wang haram dari Malaysia ialah seperti pelarian cukai pendapatan, pelarian cukai dan duti kastam, penyeludupan barangan larangan, pengaliran keluar tunai secara haram dan penyalahgunaan subsidi barangan.

“Penemuan GFI ke atas aliran wang haram dari Malaysia boleh memburukkan persepsi awam terhadap rasuah dalam negara,” katanya.- Bernama