X

Kindly register in order to view this article
!

Buang ‘tangan ajaib’ demi kejayaan

A
A

LAPORAN sebuah universiti ternama di London, Britain yang disiarkan akhbar tabloid ternama, Daily Mail pada 4 September lalu, memang tidak mengejut.

Laporan itu menyatakan sikap tidak adil di tempat kerja akan mengurangkan motivasi pekerja. Laporan itu turut memperincikan penyelidikan tokoh psikologi terkemuka, Dr Filip Gesiarz.

Kajian berkenaan dilakukan sepanjang pandemik Covid-19 melibatkan 810 pekerja.

Hasil kajian pasukan penyelidik Britain itu mendapati perbezaan gaji yang ketara walaupun sama tanggungjawab dan skop kerja akan menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja.

Dr Gesiarz menyatakan kesan psikologi ketidaksamaan peluang dalam bekerja dan masa depan akan menjejaskan produktiviti serta kesejahteraan semua pekerja yang terlibat dalam kajian tersebut.

Paling mengejutkan adalah kajian itu mendapati pekerja tidak bersedia untuk menyalurkan idea kreatif atau bekerja lebih masa bagi meningkatkan prestasi organisasi tempat mereka bekerja.

Ini menunjukkan ketidaksamaan di tempat kerja boleh mempengaruhi motivasi bukan sahaja mereka yang kurang bernasib baik, tetapi sesiapa sahaja menganggap sistem itu tidak adil.

Senario tersebut disokong pakar ekonomi sebuah universiti berprestij di Britain, Dr Jan-Emmanuel De Neve yang merumuskan kajian berkenaan umpama contoh perangkap kemiskinan kerana berlaku ketidakseimbangan ekonomi dua kali ganda akibat perbezaan gaji antara kumpulan bekerja keras untuk memajukan organisasi.

Bagaimanapun, pada masa sama wujud kumpulan ‘kaki bodek’ yang tidak mampu melakukan kerja tetapi mendapat ganjaran hasil mengampu ‘boss’.

Ini berlaku disebabkan ketidakseimbangan atau penyelewengan penilaian terhadap laporan ‘Sasaran Kerja Tahunan’ (SKT) seperti yang dinyatakan Gesiarz.

Penulis merasakan jawapan terbaik untuk mengatasi perkara itu adalah mewujudkan sebuah sistem dibangunkan Artificial Intelligence (AI) yang boleh bersikap adil tanpa dipengaruhi sentimen bodek.

Persoalannya adakah benar orang yang ikhlas melakukan kerja sering ditindas? Atau benarkah orang yang ikhlas masih berasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati ketika melakukan kebaikan memajukan organisasi atau masyarakat atau sesuatu pihak?

Ikhlas

ALLAH memberi amaran kepada pekerja yang tidak ikhlas dengan sekeras-kerasnya dalam Surah Al-Ahzab ayat 65-71 yang bermaksud, “Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperoleh seorang pelindung pun dan tidak (pula) seorang penolong; Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata, “Alangkah baiknya, andai kata kami taat kepada ALLAH dan taat (pula) kepada Rasul.”

Penulis percaya suasana adil boleh diwujudkan sekiranya AI mampu menilai pelaksanaan tulis penuh SOP ditetapkan, selain mengenal pasti hasil kerja setiap pekerja berdasarkan perancangan syarikat atau organisasi tahunan serta tanggungjawab kepada setiap pekerja dan jabatan.

AI boleh merumuskan semua faktor secara automatik tanpa penglibatan ‘tangan-tangan ajaib’.

Teknologi AI yang sedang mendominasi dunia ketika ini sebenarnya dinyatakan dalam Surah Al-Ghaasyiyah ayat 17-21 yang bermaksud, “Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan; Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan? Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.”

Kesimpulannya, ‘asal terbang burunglah, asal insang ikanlah’ bermaksud lantiklah mereka yang arif dalam bidang tertentu mengikut kelayakan bersesuaian.

Gunakan AI bagi memastikan perancangan ditetapkan dapat meningkatkan produktiviti organisasi.

Sebuah peribahasa lama menyebut ‘yang pekak pelepas bedil, yang buta pengembus lesung, yang bisu penggera ayam, yang lumpuh penghuni rumah’. Ia bermakna setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!