Amanah usah kelirukan rakyat

Nurul Amin Hamid
Nurul Amin Hamid
A
A
A

SUNGAI PETANI- Dakwaan pemimpin kanan Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah bahawa kerajaan negeri Kedah gagal mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) disifatkan sebagai tindakan mengelirukan rakyat serta tidak menghormati institusi kerajaan.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, melalui pautan di media sosial yang dimuat naik di Facebook, satu kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin terbabit mendakwa Kedah gagal membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) dengan alasan meletakkan keputusan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, berdasarkan Akta 342 (Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988) keputusan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau apa sahaja berkaitan kawalan ini berada dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

"Sebarang tindakan dan penguatkuasaan bersabitkan akta ini adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, namun segala maklumat terperinci, data dan kekuatan anggota terlibat adalah dengan kerjasama serta usaha kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Negeri (JKKN).

"JKKN akan memberi cadangan untuk sebarang tindakan apabila memiliki data yang tepat, tetapi perlu disahkan dan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Menteri Kanan.

"Sebagai bekas kerajaan dan exco kesihatan, sepatutnya pemimpin tersebut harus bersikap matang dan memberikan banyak sumbangan idea khususnya bantuan seperti berkempen kepada rakyat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, sikap tuding jari di saat kebimbangan terhadap penularan Covid-19 memuncak menunjukkan Amanah Kedah terlalu berpolitik dan jauh daripada naratif cintakan negara.

Katanya, pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim Daerah Kota Setar, bermula 12 tengah malam ini sehingga 25 September 2020 sangat jelas dan selari dengan cadangan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Artikel Berkaitan: