Pasukan MALLBATT 850-7 pulang akan dikuarantin 14 hari

AFFENDI BUANG
AFFENDI BUANG
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang akan kembali ke tanah air daripada penugasan di Lubnan pada bulan hadapan, akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, anggota Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8) yang berlepas menggantikan pasukan berkenaan, akan turut menjalani proses kuarantin sebelum ke sana.

Beliau berkata, ATM telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan tempat kuarantin di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi pasukan yang akan pulang, bagi memastikan tiada penularan berlaku sebelum mereka dibenarkan pulang dan kembali ke unit masing-masing.

“Kebiasannya apabila mereka tinggal di kawasan seperti di kem mereka di Lubnan, mereka tidak dijangkiti tetapi langkah ini adalah perlu,” katanya pada wawacara khas Panglima ATM sempena Hari ATM ke-87 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kumpulan pertama pasukan MALBATT 850-7 berlepas ke Lubnan pada 1 Oktober tahun lepas, bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun.

Affendi berkata, ATM akan meneruskan penghantaran pasukan pengaman ke Lubnan, kerana sehingga kini tiada sebarang kenyataan atau perancangan daripada pihak Jabatan Operasi Pengaman PBB, untuk penamatan atau penarikan keluar (PBB) (UNIFIL), dari negara itu.

“Malaysia sebagai salah satu daripada negara anggota PBB, sentiasa menyokong dan bersedia untuk menyertai misi UNIFIL di Lubnan, selagi diperlukan oleh ibu pejabat UNIFIL dan Jabatan Operasi Pengaman PBB,” katanya.

Menurut maklumat ATM, pergerakan pulang pasukan MALBATT 850-7 akan dilaksanakan dalam empat kumpulan, dengan masing-masing tiba di tanah air pada 2 Oktober, 16 Oktober, 30 Oktober dan 16 November.

Artikel Berkaitan:

Pergerakan pasukan MALBATT 850-8 ke Lubnan juga akan dilaksanakan dalam empat peringkat iaitu akan berlepas pada 1 Oktober, 15 Oktober, 29 Oktober dan 15 November.- Bernama