Kes UPNM: Tiga tertuduh lihat Zulfarhan dikelilingi lebih 20 individu

Bapa Allahyarham, Zulkarnain Idros, 56, hadir mengikuti prosiding kes bunuh anaknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Bapa Allahyarham, Zulkarnain Idros, 56, hadir mengikuti prosiding kes bunuh anaknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga tertuduh bagi kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mereka melihat lebih 20 individu mengelilingi mangsa, di bilik 410 Blok Jebat, pada 22 Mei 2017 lalu.

Tertuduh ke-14, 15 dan 19, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal dan Muhammad Danial Firdaus Azmir berkata, mereka melihat Allahyarham duduk di kerusi di tengah-tengah bilik bersama sekumpulan lelaki berkenaan.

Ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Datuk Hazizah Kassim, Mohamad Lukhmanul Hakim berkata, selepas tamat taklimat perbarisan (roll call), dia mendapati mangsa berada di bilik 410 bersama Abdoul Hakeem Mohd Ali (tertuduh keenam).

“Saya tak suka dengan keadaan itu, jadi saya ke bilik 407 untuk berehat, mungkin dalam 20 minit kemudian barulah saya kembali semula ke bilik 410.

“Masa itu, saya lihat arwah duduk di kerusi manakala Abdoul Hakeem, Muhammad Azamuddin Mad Sofi (tertuduh kedua) dan Mohd Syafiq Abdullah (saksi pendakwaan ke-25) duduk di atas meja,” katanya.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, Mohamad Lukhmanul Hakim berkata, dia hanya pulang ke biliknya di 410 untuk menukar pakaian.

Julia: Tadi awak ada kata, tak suka melihat keadaan di bilik 410, maka awak ke bilik lain. Soalan saya, apa yang menyebabkan awak tak suka?

Mohamad Lukhmanul Hakim: Saya tak suka dengar pasal peristiwa yang berlaku pada 21 Mei 2017 itu.

Artikel Berkaitan:

Julia: Peristiwa apa ?

Mohamad Lukhmanul Hakim: Saya dengar Allahyarham dituduh mengenai lambat perbarisan.

Julia: Saya cadangkan, awak tak suka sebab apa yang awak dengar pada 21 Mei itu, (pergaduhan soal siasat) berlaku sekali lagi pada 22 Mei.

Mohamad Lukhmanul Hakim: Tidak setuju, sebab saya tak pasti soalan yang sama dibuat atau tidak.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan daripada Hazizah, tertuduh ke-15, Ahmad Shafwan berkata, dia melihat ramai pelajar keluar masuk ke bilik di mana Allahyarham berada.

Ahmad Shafwan berkata, dia mendapati terdapat banyak selipar di luar bilik 410, tetapi selepas membuka pintu, keadaan dalam bilik kelihatan samar-samar.

Sementara itu, ketika menjawab soalan daripada Peguam A G Khalidas, tertuduh ke-19, Muhammad Danial berkata, dia bersama rakan-rakan lain diasingkan oleh pihak polis ketika taklimat perbarisan tergempar pada 1 Jun 2017.

“Saya diasingkan dan dimasukkan ke dalam kumpulan yang didakwa memukul Allahyarham, tetapi sebenarnya saya tidak terlibat,” katanya.

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zulhairi Azmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman Abdullah bersambung 30 September ini.