X

Kindly register in order to view this article
!

Jual jenama tiruan, tiga peniaga didenda RM19,500

Ketiga-tiga peniaga pakaian jenama tiruan di pasar pagi di Dungun dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas selesai prosiding pertuduhan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga peniaga pasar pagi di Dungun didenda RM19,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana menjual pakaian berjenama tiruan, Ahad lalu.

Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun itu turut berdepan hukuman empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas mereka mengaku salah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) di bawah akta yang sama.

Tertuduh, Sa'ari Ahmad, 35, dijatuhi hukuman denda RM8,000 selepas mengaku memiliki yang bertujuan untuk menjual 400 helai seluar trek dan 46 helai baju t-shirt pelbagai saiz jenama Adidas, 90 helai seluar trek dan 30 helai t-shirt pelbagai saiz jenama PUMA.

Tertuduh, Mohd Nursalam Nordin, 26, juga dijatuhi hukuman denda RM8,000 selepas mengaku memiliki seluar sukan jenama Adidas sebanyak 312 helai dan 239 helai seluar sukan jenama PUMA bertujuan untuk menjualnya.

Bagi tertuduh, Mohd Syahlan Mohd Shafie, 30 pula, dia dijatuhi hukuman denda RM3,500 selepas mengaku salah memiliki 56 helai seluar sukan jenama PUMA pelbagai saiz, 25 helai seluar sukan jenama Adidas pelbagai saiz dan 26 helai seluar jeans jenama Levis.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dan premis di Jalan Bukit Besi, Kampung Che Lijah, Dungun antara jam 9.15 pagi hingga 9.20 pagi, pada 6 September lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Hishamuddin Rosnan.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Dungun merampas 1,224 helai pakaian berjenama tiruan bernilai lebih RM30,000 dalam Ops Jeriji di sebuah pasar pagi di sini.

Dalam operasi di tiga premis perniagaan berbeza bersama wakil cap dagang berdaftar itu, tiga lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki menjual pakaian yang menggunakan cap dagangan secara salah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!