STADIUM baharu nampaknya belum memberi 'tuah' buat Perak apabila terikat  2-2 dengan PKNS FC di Stadium Perak, malam tadi.

Sekali gus, menyaksikan skuad The Bos Gaurus itu gagal layak ke saingan separuh akhir Shopee Piala FA 2018 setelah tewas 3-4 secara aggregat.

Perak bermula baik menerusi beberapa asakan menarik ke gawang pelawat, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan PKNS FC menggandakan asakan dan hasilnya pemain import Rodney Calvin membuka jaringan pada minit ke-52.

Bagai mendapat semangat baharu, skuad semut merah itu mula mengasak hebat ke gawang tuan rumah dan K Gurusamy meledak gol kedua setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.

Ketinggalan dua gol bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan Perak untuk bangkit mengatur serangan balas dan hasilnya, kapten, Muhammad Nasir Basharuddin berjaya meledak jaringan pada minit ke-72 dan 82.

Bagaimanapun, kedua-dua jaringan berkenaan sudah terlalu lewat untuk menafikan kemaraan PKNS FC (yang memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan) ke separuh akhir.