MAJLIS Sukan Negara (MSN) yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari formula terbaik bagi mempersiapkan skuad bawah 22 tahun (B-22) untuk menghadapi Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MSN tidak mempunyai masalah dengan perubahan struktur organisasi dalam badan induk bola sepak negara itu, malah beliau yakin ia dapat memantapkan lagi persediaan skuad B-22 itu.

"Perubahan jurulatih tidak ada masalah kerana Datuk Ong Kim Swee juga tidak asing dengan kita di MSN. Selama ini Datuk Ong sentiasa terlibat dengan program kita dan itu tidak menjadi isu besar. Sesiapa sahaja dipilih oleh FAM untuk menjadi jurulatih, kita hormati kerana mereka lebih mengetahui.

"Kita akan beri sokongan dengan menyediakan khidmat sains sukan kepada pemain seperti yang diminta pengurusan FAM dalam memastikan pasukan ini dapat bersedia dengan lebih baik menjelang Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) program 'One State One University One Centre' di MSN di sini hari ini.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dengan FAM mengenai Fasa III Program Kita Juara 2017 pagi tadi, beliau berkata MSN bersetuju dengan beberapa pendekatan yang akan diambil oleh FAM dalam program latihan untuk pasukan B-22, pasukan bola sepak wanita, futsal lelaki dan wanita.

Kita dimaklumkan oleh FAM mengenai kedudukan jurulatih yang terlibat bagi setiap pasukan dan kita bersetuju dengan apa telah FAM lakukan dan akan bagi sokongan kepada FAM sebaik mungkin sepertimana kita beri sokongan kepada sukan-sukan lain untuk menghadapi Sukan SEA 2017, katanya.

Mengulas mengenai peluang skuad B-22 untuk meraih pingat emas dalam keadaan persediaan pasukan yang singkat, Ahmad Shapawi berkata beliau yakin dengan pemain dipilih menyarung jersi negara yang telah melakukan persiapan masing-masing ketika beraksi dalam Liga Malaysia.

"Pada saya, tidak timbul persiapan saat akhir kerana kebanyakan pemain adalah mereka yang beraksi dalam Liga Malaysia.  Kita berharap berbaki empat atau lima bulan ini,  usaha lebih serius dapat dilakukan FAM agar pemain dapat melakukan latihan dengan lebih baik khususnya skuad bawah 22 tahun lelaki.

"Di bawah Program Kita Juara, sasaran kita untuk menjadi juara keseluruhan Sukan SEA dan untuk muncul juara keseluruhan, kita kena menang banyak pingat emas.  Bola sepak pula adalah sukan paling popular dan kalau dapat menang emas, dan muncul juara keseluruhan, akan lebih manis lagi," katanya.

Untuk rekod, skuad bola sepak negara meraih pingat emas pada edisi 2009 di Laos dan 2011 di Jakarta.

Dalam pada itu, Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dengan kutipan 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEKUATAN dan kelemahan sebenar skuad Bawah-23 (B-23) tahun negara, akan diukur pada aksi persahabatan terakhir menentang pasukan B-23 Syria di Nanjing, China pada Jumaat depan, sebelum memulakan saingan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 bermula dari 9 hingga 27 Januari tahun hadapan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) untuk melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam pemain pasukan itu sebelum 15 Januari depan.
  • MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) membantah keputusan Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan tiga sukan teras pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak, tahun depan.
  • KENYATAAN Presiden Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi yang melarang pemain Indonesia beraksi dalam kancah Liga Malaysia 2018 (Liga-M) dilihat lebih kepada nasihat dan bukanlah penamat keinginan pemain Indonesia untuk berhijrah.
  • MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah diarahkan untuk membantu tiga sukan yang telah digugurkan daripada senarai sukan teras bagi membolehkan badan induk persatuan terlibat merangka program pembangunan yang lebih mantap di bawah kelolaan masing-masing.