Pentas Sabah uji taring

Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee (kanan) memantau sesi latihan pemain The Rhinos menjelang saingan kejohanan empat penjuru Piala Sabah Maju Jaya. Foto Sabah FC
Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee (kanan) memantau sesi latihan pemain The Rhinos menjelang saingan kejohanan empat penjuru Piala Sabah Maju Jaya. Foto Sabah FC
A
A
A

PENYERTAAN kelab Liga Singapura (Liga-S), Hougang United FC dan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dalam Piala Sabah Maju Jaya 2024 merupakan pentas pemanas badan terbaik buat Sabah FC.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid percaya kejuaraan tersebut merupakan ruang terbaik untuk semua pasukan bagi menguji keserasian dan kecergasan pemain sebelum bermulanya saingan domestik.

“Kejohanan ini menguji kekuatan serta strategi pasukan masing-masing sebelum saingan Liga Malaysia 2024/25 bermula pada 10 Mei depan.

“Penyertaan pasukan luar negara juga boleh menguji pasukan Sabah FC selepas mereka bersama-sama terlibat dalam kejohanan AFC tahun lalu.

“Sabah FC perlu memanfaat peluang keemasan beraksi di gelanggang sendiri dalam kejohanan ini sekali gus di lihat dapat menarik perhatian para peminat dan penyokong menyaksikan Piala Sabah Maju kali ini,” katanya.

Selain Hougang United dan Sabah, kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC dan Kuching City FC menyahut cabaran edisi kali ini yang menyingkap tirai 29 April hingga 5 Mei di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Mohd Joh berkata, kejuaraan empat penjuru Piala Sabah Maju Jaya menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM33,000.

Katanya, juara edisi kedua ini akan membawa pulang piala dan RM15,000, naib juara menerima RM10,000, ketiga membawa pulang RM5,000 manakala keempat RM3,000.

Artikel Berkaitan:

“Sedafiat Sdn Bhd dan Anika Desiran Sdn Bhd merupakan penaja kejohanan empat penjuru Piala Sabah Maju Jaya tahun ini,” katanya.

Sebagai rekod tiket perlawanan mula dijual Jumaat boleh dibeli secara dalam talian di laman www.tickethotline.com.my.

Harga tiket berbumbung adalah RM15 bagi dewasa manakala RM10 kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

Bagi tiket tidak berbumbung adalah RM10 dewasa dan RM5 kanak-kanak 12 tahun ke bawah.


PIALA SABAH MAJU JAYA 2024

ISNIN (29 APRIL)

Kuala Lumpur City FC lwn Kuching City FC, jam 4 petang

Sabah FC lwn Hougang United FC, 8 malam

RABU (1 MEI)

Kuching City FC lwn Hougang United FC, 4 petang

Sabah FC lwn Kuala Lumpur City FC, 8 malam

JUMAAT (3 MEI)

Hougang United FC lwn Kuala Lumpur City FC, 4 petang

Sabah FC lwn Kuching City FC, 8 malam

5 MEI

Penentuan tempat ketiga dan keempat jam 4 petang

Perlawanan akhir, 8 malam

* Semua perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!