TIGA pemain kelahiran Kelantan yang beraksi bersama skuad Harimau Muda B (B-22) dalam Liga Singapura, akan menyarung jersi skuad The Red Warriors (TRW) pada saingan Liga Malaysia, musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata tiga pemain berkenaan adalah penyerang Syahrul Azwari Ibrahim, pemain tengah Mohd Faris Shah Rosli dan penjaga gol Mohd Ramadhan Abd Hamid.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  semalam, mengesahkan program Harimau Muda yang diperkenalkan sejak 2007, dibubarkan setelah mendengar cadangan daripada Pasukan Petugas Khas FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden badan induk itu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Berikutan keputusan itu, kesemua pemain Harimau Muda B dan Harimau Muda C (B-19), yang masing-masing dikendalikan Razip Ismail dan Hassan Sazali Mohd Waras, perlu kembali ke negeri kelahiran masing-masing.

Pencapaian terbaik skuad Harimau Muda B adalah menjuarai Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh, Februari lepas, manakala tiada pencapaian membanggakan diraih skuad Harimau Muda C dalam Liga FAM, musim ini. - Bernama