Aaron-Wooi Yik naib juara Terbuka Malaysia

Aaron-Wooi Yik muncul naib juara Terbuka Malaysia. Foto Bernama
Aaron-Wooi Yik muncul naib juara Terbuka Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

HASRAT gandingan utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan penantian 12 tahun negara muncul juara beregu lelaki di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi final Terbuka Malaysia, pada Ahad.

Dalam aksi mendebarkan di Axiata Arena Bukit Jalil itu, impian Aaron-Wooi Yik dipadamkan oleh pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae menerusi pertarungan tiga set 15-21, 21-12, 18-21.

Kekalahan itu menyaksikan kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di kejohanan berprestij itu berterusan selepas kali terakhir dimenangi oleh gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.

Memulakan aksi set pertama, kedua-dua pasangan saling membalas serangan dengan pungutan mata sengit sebelum Won Ho-Seung Jae memperkemaskan permainan untuk menjarakkan kedudukan sekali gus menang 21-15.

Tersentak dengan kekalahan set pertama, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kedua dunia mendapat suntikan semangat daripada sorakan ribuan penonton bangkit mempamerkan aksi garang pada set kedua.

Gandingan negara itu selesa mendahului 11-6 pada rehat interval sebelum terus menguasai gelanggang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-12.

Bagaimanapun, di set penentuan pasangan utama Korea Selatan itu tampil lebih tenang dan bersedia menyerap asakan untuk memastikan gelaran juara milik mereka dengan keputusan 21-18 biarpun Aaron-Wooi Yik memberikan tentangan cukup sengit.

Selaku juara, Won Ho-Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$107,300 (RM439,232) manakala Aaron-Wooi Yik berpuas hati dengan $50,750 (RM207,745) selaku naib juara.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki, pemain nombor dua dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dinobatkan sebagai juara selepas lawannya yang juga pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Yu Qi membuat keputusan itu ketika ketinggalan 1-6 pada set kedua selepas tewas 21-23 pada set pertama.

Bagi kategori perseorangan wanita, jaguh Korea Selatan, An Se Young mencipta sensasi tersendiri apabila merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.

Se Young menewaskan wakil China, Wang Zhi Yi 21-15, 24-22 dalam aksi final tersebut.

Dominasi China bagaimanapun terserlah dalam acara beregu apabila gandingan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping muncul juara beregu campuran selepas menewaskan rakan senegara, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-19, 21-19.

Pasangan beregu wanita China, Liu Sheng Shu-Tan Ning turut cemerlang apabila menundukkan gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-18, 21-12 untuk menaiki podium juara.

Ringkasan AI

  • HASRAT gandingan utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan penantian 12 tahun negara muncul juara beregu lelaki di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi final Terbuka Malaysia
  • Aaron-Wooi Yik tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dengan keputusan 15-21, 21-12, 18-21
  • Kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di Terbuka Malaysia berterusan selepas kali terakhir dimenangi pada edisi 2014
  • Pasangan utama Korea Selatan itu memenangi set penentuan dengan kemenangan 21-18
  • Won Ho-Seung Jae memenangi hadiah wang tunai bernilai AS$107,300 manakala Aaron-Wooi Yik menerima $50,750 sebagai naib juara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!