KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa dengan sistem pengendalian tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil, bersempena aksi kedua Kumpulan A  Kejuaraan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) antara Malaysia dan Thailand hari ini.

Syed Saddiq yang hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada skuad muda kebangsaan menyifatkan sistem pengurusan tiket lemah apabila hanya satu pintu masuk dibuka, sehingga menyebabkan sebahagian penyokong terpaksa beratur panjang.

Dianggarkan lebih 10,000 penyokong datang untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara.

“Ada antara mereka datang dari Kedah dan Johor, menunggu sejak awal pagi disebabkan pengurusan tiket yang lemah.

“Please take action @FAM_Malaysia / @Amshar_Aziz / @HalianFadzli . I want to be fully briefed on this and an action plan,” katanya menerusi laman Twitter.

Beliau berkata demikian selepas membalas kiriman seorang pengguna akaun Twitter ‘@FaizuddinZukri’ yang ‘berang’ terhadap pengurusan jualan tiket di stadium itu.

“SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) management never learnt! Kaunter banyak buka satu je @SyedSaddiq @Khairykj,” kata pengguna itu yang turut memuat naik gambar situasi itu.

Syed Saddiq yang turut meninjau situasi di perkarangan stadium itu berkata beliau akan berusaha bagi memastikan kejadian berkenaan merupakan yang terakhir berlaku di stadium berkenaan.

Sementara itu, beliau turut berada di pintu masuk A stadium sehingga masalah berkenaan selesai sebelum mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas kerjasama diberikan bagi menyelesaikan isu tersebut tidak lama selepas itu.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan @FAM_Malaysia kerana memberikan kerjasama yang sepenuhnya sehingga masalah ini dapat diselesaikan secara bersama!,” katanya. - Bernama