KONTINJEN Sabah mengumumkan pasukan futsal lelaki dan wanita negeri berkenaan menarik diri daripada Sukma ke-19 selepas salah seorang atlet mereka disahkan positif virus beguk (mumps).

Ketua Kontinjen Sabah, Arunarnsin Taib berkata, keputusan berkenaan dilakukan selepas mengambil kira risiko penularan virus berkenaan kepada pasukan futsal negeri lain ketika pertandingan dijalankan.

"Kami kesal kerana tidak dapat bersaing di Temasya Sukma kali ini walaupun kedua-dua pasukan futsal lelaki dan wanita Sabah telah berlatih bersungguh-sungguh demi kejohanan ini.

"Bagaimanapun atas faktor kesihatan atlet-atlet dari kontinjen negeri lain kami akur dan mengambil keputusan berat ini," katanya kepada pemberita pada satu sidang media khas mengumumkan keputusan berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaaan Sungai Buloh yang diterima malam tadi mengesahkan atlet wanita berusia 16 tahun itu yang mengalami gejala demam 2 September lalu positif virus beguk.

"Oleh itu, kami telah bermesyuarat bersama pihak terlibat dan mendapat ketetapan sebulat suara untuk memberi peluang kepada kontinjen Futsal Negeri Sabah menukar atlet mereka.

"Bagaimanapun Kontinjen Negeri Sabah memutuskan pasukan futsal lelaki dan wanita mereka menarik diri daripada Sukma kami ini selepas mengambil perkembangan semasa dan risiko penularan virus tersebut kepada pasukan lain yang mungkin terjadi semasa bertanding nanti," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sukma 2018: Atlet Sabah dikuarantin]

Menurut Howard, seramai 36 orang atlet dan lima pegawai pasukan futsal Sabah terpaksa dikuarantinkan bagi mengelakkan penularan virus beguk dikalangan peserta negeri lain di satu lokasi yang dirahsiakan.

"Terdapat sebelas atlet futsal Sabah iaitu tujuh lelaki dan empat wanita didapati mengalami gejala tidak spesifik seperti demam, sakit tekak dan keletihan di mana mereka mempunyai sejarah terdedah dengan kes yang disahkan mumps.

"Manakala 19 atlet lelaki dan wanita bersama lima pegawai mereka yang terdedah kepada kes yang disahkan mumps ini tetapi tidak mengalami sebarang gejala turut diasingkan sejak 7 September," katanya.