SUKAN Malaysia (Sukma) ke 19 membuka tirai secara rasmi de­ngan penuh gemilang  disaksikan lebih 30,000 penonton di Stadium Perak, malam ini.

Orang ramai yang membanjiri pekarangan stadium sejak jam 5 petang sedikit pun tidak berganjak meskipun hujan sekitar jam 8 malam untuk  menyaksikan kemuncak pengisytiharan yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman juga Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Bertemakan 'Wow Kita Hebat #kibarkanpanjimu #rebahkanmusuhmu, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu kebesaran Perak.

Acara terus dimulakan dengan perarakan masuk 15 kontinjen didahului kontinjen Sarawak.

Selaku tuan rumah, Perak menghantar kontinjen terbesar iaitu 587 atlet diikuti

Selangor (543), Terengganu (542), Sarawak (533), Wilayah Persekutuan (532), Johor (495), Pulau Pinang (483), Kedah (464), Pahang (440), Sabah (416), Negeri Sembilan (411), Melaka (376), Kelantan (288), Perlis (280) dan Brunei selaku pasukan jemputan menghantar 34 atlet.

Acara countdown disemarakkan dengan percikan bunga api disusuli nyanyian lagu rasmi Sukma 19 iaitu Wow! Kita The Greatest ciptaan komposer terkenal Datuk Wah Idris.

Acara terus dimeriahkan dengan persembahan Indera Sakti gabungan lebih 700 peserta mengambil bahagian, kehadiran artis popular tanah air antaranya Hael Husaini, Hazama, OAG dan Sissyiman menghangatkan lagi suasana di stadium.

Tayangan video Larian Baton Sukma turut dipertontonkan kepada umum sejurus lafaz perasmian oleh Sultan Nazrin.

Bekas atlet lompat tinggi negara, Loo Kum Zee diberi penghormatan membawa obor berbentuk Taming Sari ke pentas utama sebelum simbolik perasmian disempurnakan baginda Sultan.

Upacara diteruskan dengan menaikkan bendera kejohanan Sukma diikuti lafaz ikrar oleh 15 wakil negeri.

Temasya sukan kali ini disertai lebih 6,000 atlet dan lebih 1,600 pegawai sukan dengan tawaran 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dipertandingkan di 39 venue di  12 daerah seluruh Perak.

Kali terakhir Perak menjadi tuan rumah Sukma ialah pada 1994 dan pencapain terbaik setakat ini adalah pada Sukma edisi kesembilan 2002 di Sabah iaitu berada di tangga kedua dibelakang Selangor dengan pungutan 49 emas.

Majlis penutup pada 22 September ini dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.