Petanda positif buat Sabah FC

Kim Swee
Kim Swee
A
A
A

SABAH FC kini diiktiraf di peringkat Asia Tenggara selepas mendapat jemputan Kejohanan Antarabangsa RCTI Jakarta Indonesia RCTI Premium Sports bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini.

Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee berkata, pengiktirafan ini merupakan perkembangan positif sekali gus menjadikan Sabah FC sebaris dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara yang begitu sinonim dengan kehebatan mereka dalam arena sukan bola sepak.

“Jemputan ini merupakan penghargaan kepada Sabah FC selepas pencapaian terbaik mereka layak ke saingan Piala AFC dan berada di tempat ketiga selama dua tahun berturut-turut dalam Liga Super.

“Semua tahu Sabah FC berbelanja besar dalam membentuk pasukan yang mantap, berkualiti, sekali gus jemputan ini memberikan imej yang sangat baik bukan sahaja kepada pasukan Sabah FC malah kepada negeri Sabah itu sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai kejohanan itu nanti, Kim Swee berkata, Sabah FC mengesahkan tiada pemain kebangsaan akan disenaraikan untuk menyertai kejohanan tersebut.

“Pemain sedia ada perlu membuktikan keupayaan mereka untuk layak bermain pada mana-mana kejohanan sekiranya berlaku kecederaan atau penggantungan terhadap pemain utama sepanjang kempen liga nanti.

“Sudah tentu ruang yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin serta mampu untuk mendapatkan momentum serta meneruskan intensiti selepas mengharungi tiga perlawanan dalam Liga Super kelak,” ujar Kim Swee.

Kejohanan berlangsung di Jakarta Internasional Stadium (JIS) turut melibatkan Persija Jakarta, PSIS Semarang, Selangor FC.

Artikel Berkaitan:

Juara menerima hadiah wang tunai AS$30,000 (RM142,000) berserta Piala Rajawali dan medal manakala naib juara AS$15,000 (RM71,000) dan pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM47,000) dan AS$5,000 (RM23,000).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!