Selangor FC sedia terima sebarang kemungkinan

Shahril. Foto Agensi
Shahril. Foto Agensi
A
A
A

SELANGOR FC (SFC) terbuka menerima apa sahaja kemungkinan yang bakal mereka tanggung selepas memutuskan untuk tidak menyertai saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadualkan pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, keputusan yang mereka buat itu bukan mudah, sebaliknya diambil selepas perbincangan bersama semua pemegang taruh pasukan tersebut.

"Kami bersedia untuk berdepan apa sahaja kesan yang bakal timbul susulan keputusan SFC ini. Perbincangan dibuat dengan pelbagai pihak dan keputusan itu diambil selepas pertimbangan wajar dan penelitian pelbagai faktor.

"Malah langkah ini juga mendapat sokongan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Penaung SFC. Semua pihak mengambil maklum kenyataan itu dan baginda bertitah ini bukan sahaja aspek keselamatan tetapi membabitkan moral pasukan.

"Ia sudah terjejas susulan serangan asid ke atas pemain sayap kami, Faisal Halim," ujar Shahril.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Khamis mengesahkan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan SFC di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat dibatalkan susulan keputusan SFC untuk tidak hadir menyertai perlawanan tersebut.

Susulan itu, badan pengendali liga tersebut mengumumkan skuad Harimau Selatan turut mendapat tiga mata pertama bagi musim 2024/25 sekali gus Piala Sumbangsih kekal di Johor.

MFL bagaimanapun memaklumkan perkara lain berkaitan penarikan diri SFC itu akan diputuskan selepas mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan SFC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL sekali gus menyaksikan JDT bakal diberikan kemenangan 'walkover' dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).

"Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya," menurut kenyataan MFL

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!