Aiden Tai, Yi Belle ungguli Golf Remaja 100PLUS Srixon 2024

Aiden Tai
Aiden Tai
A
A
A

AIDEN Tai John Roberts dan Ngo Yi Belle melabuh tirai Pusingan Pertama Kejuaraan Golf Remaja 100PLUS Srixon 2024 di Kelab Golf Kota Permai, Shah Alam dengan status juara pada Khamis.

Aiden Tai mengungguli Kategori Lelaki selepas melepasi tentangan sengit daripada Ammer Aiman Mohd Fauzi pada hari terakhir.

Tekanan nyata pemian berusia 15 tahun itu pada sembilan lubang pertama apabila dua bogey dicatat pada lubang pertama dan enam.

Tiga lagi bogey dilakar di sembilan lubang terakhir tanpa catatan birdie untuk menutup hari terakhir dengan 77 pukulan lima di atas par untuk catatan keseluruhan 220, empat di atas par

Biarpun bermula dua bogey pada awal permainan, Ammer Aiman melakar birdie di lubang 13 untuk memberi tekanan ke atas Aiden sekaligus cuba mengheret penentuan juara menerusi playoff.

Namun bogey di lubang 15 melabuh kempen pada hari terakhir dengan 73 pukulan satu di atas par.

Ammer Aiman akur untuk berstatus naib juara dengan 221 pukulan, lima di atas par, dibezakan satu pukulan dengan Aiden muncul juara selepas tiga pusingan.

“Permainan yang tidak menentu hari ini tetapi saya tetap cuba untuk bermain dengan tenang dan Ammer hanya dibezakan dua pukulan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berjaya mengawal rentak permainan walaupun tertekan dan ketika Ammer terlepas peluang untuk mencatat par di lubang 15, ia beri sedikit kelegaan kepada saya.

“Sudah tentu saya teruja untuk beraksi di pusingan akhir kerana dapat bersaing dengan pemain-pemain dari luar negara.

“Dengan tempoh masa yang ada, saya akan terus perbaiki kelemahan dan berharap akan ada keputusan yang positif,” kata Aiden.

Yi Belle pula mengungguli Kategori Wanita selepas mengumpul 233 pukulan keseluruhan, 13 di atas par.

Yi Belle nyata tidak berdepan tentangan terutama daripada Tan Ying Ying yang gagal beraksi lebih konsisten menutup hari ketiga dengan 75 pukulan tiga di atas par.

Ying Ying melabuh kempen dengan 80 pukulan lapan di atas par untuk catatan keseluruhan 242 pukulan sekali gus mengesahkan status sebagai naib juara.

“Hari ini saya bermain dengan lebih baik berbanding hari pertama dan semalam. Sudah tentu keputusan hari ini menggembirakan saya.

“Akan ada banyak kejohanan yang akan saya sertai dan setiap kejohanan saya akan pelajari sesuatu sebelum beraksi di Kota Permai dan kelab itu adalah tempat saya dibesarkan dalam sukan golf,” kata Yi Belle.

Pusingan Pertama Kejuaraan Golf Remaja 100PLUS Srixon 2024 bermula dari 7 hingga 9 Mei menghimpunkan 80 pemain lelaki dan perempuan

Sementara itu, pusingan kedua dijadualkan berlangsung di Kelab Golf Miri, Sarawak pada 11 hingga 13 Jun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!