PENYOKONG The Red Giants  sudah lama menantikan Selangor kembali bermain di Stadium Shah Alam sekurang-kurangnya untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Norazman Abbas berkata, Stadium Shah Alam sudah sinonim dengan skuad Merah Kuning itu seharusnya dikembalikan kepada pasukan berkenaan.

"Apabila bermain di Stadium Shah Alam, semangat dan auranya cukup berbeza. Dapat lihat pemain lebih menjiwai peranan mereka di padang selain rasa patriotik itu lebih tinggi.

"Penyokong juga sangat merindui untuk jejakkan kaki ke stadium keramat tersebut dan sudah tentu ia lebih selesa untuk kami hadir ke sana berbanding Stadium Selayang," katanya.     

Sebelum ini, konflik antara pengurusan dan kerajaan negeri menyaksikan skuad bimbingan P Maniam itu tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi sejak awal musim ini.

Stadium Shah Alam juga dikatakan masih dalam proses penyelenggaraan berkaitan lampu limpah yang menyebabkan Selangor tidak boleh bermain pada waktu malam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan sedang berunding dengan beberapa pihak tertentu bagi memastikan Selangor dapat kembali beraksi di Stadium Shah Alam.

Mengulas lanjut, kata Norazman, pengurusan dan kerajaan negeri perlu melupakan sengketa lama dalam usaha memastikan kemajuan bola sepak di Selangor pada masa depan.

Menurutnya, persengketaan yang berpanjangan bukan budaya sihat apatah lagi ia melibatkan bola sepak yang menjadi sukan utama negara.

"Pertikaian politik ini bagi saya tidak membawa apa-apa faedah selain merugikan kita. Sekarang ini, Selangor sudah menunjukkan prestasi yang baik dan ketika ini berada di kedudukan keempat Liga Super.

"Jadi, wajar untuk Selangor kembali bermain di stadium keramat mereka sekali gus menaikkan semangat pemain," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.