KEJOHANAN Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS), Rabu ini menjadi medan pemanas badan terbaik pasangan beregu negara, Lai Pei Jing-Tan Kian Meng dalam mempersiapkan diri  menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos depan.

Pei Jing berkata, beliau mahu memastikan segala kelemahan  dapat diatasi sebelum Kejohanan Dunia memandangkan GP Emas Terbuka AS kejohanan terakhir disertai mereka.

"Walaupun BAM tidak meletakkan harapan, tapi itu tidak bermakna kami hanya beraksi untuk memenuhi kuota.

“Ini sebenarnya sesuatu yang positif kerana ia elakkan kami daripada sebarang tekanan.

"Kini, apa yang saya harapkan mampu mengekalkan fokus sebelum Kejohanan Dunia bermula," katanya.

Awal tahun ini, Kian Meng dan Pei Jing lebih banyak memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ini kerana pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, berada dalam senarai awal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk ke Kejohanan Dunia.

Bagaimanapun, kecederaan dialami Liu Ying menyaksikan Kian Meng-Pei Jing mendapat lampu hijau bagi mengibarkan cabaran negara di Glasgow.

Ujar Pei Jing, tiada pentas lebih besar daripada Kejohanan Dunia untuk membuktikan kredibiliti sebagai pemain.

Sehubungan itu, peluang itu akan diambil bagi memadam segala keraguan terhadap beregu campuran negara ini.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu memastikan prestasinya bersama Kian Meng dapat ditingkatkan lagi dalam persediaan menghadapi Kejohanan Dunia.

"Saya sedikit terkejut sebab pada awalnya kami buat persiapan untuk bermain dalam Sukan Sea tetapi dapat menyertai Kejohanan Dunia.

"Oleh itu, saya menjadi lebih teruja. Tekanan tetap ada, cuma kami perlu hadapinya sahaja.

"Saya percaya, kalau kita memiliki sikap dahagakan kemenangan, ia akan membantu kita untuk melakar kejayaan nanti.

"Selepas ini, kami mempunyai dua minggu sebelum beraksi di Kejohanan Dunia dan akan berbincang dengan jurulatih untuk melonjakkan lagi prestasi kami," katanya.

Pei Jing-Kian Meng mahu fokus satu persatu perlawanan.

Enggan beri tekanan

Pada masa sama, Pei Jing enggan terlalu memberi tekanan kepada diri dan pasangannya sebaliknya lebih mematangkan diri masing-masing untuk memikirkan kekuatan yang diperlukan untuk memenangi sebarang kejuaraan.

Pei Jing akui selepas memenangi Terbuka Vietnam Julai lalu, beliau berharap dia dapat menambah koleksi kejuaraan pada baki beberapa kejohanan tahun ini.

“Memang saya sentiasa mengharapkan untuk memenangi kejohanan. Tapi pada masa sama saya tahu ia bukanlah senang.

“Saya hanya akan cuba memberikan yang terbaik. Jika gagal, saya anggap ia sebagai takdir," katanya.

Mengulas mengenai Terbuka AS, PeI Jing tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi walaupun diletak selaku pilihan pertama kejohanan.

“Sasaran awal kami sekurang-kurangnya untuk mara ke suku akhir. Yang penting perlu beraksi sebaik mungkin dalam setiap perlawanan," katanya.

Mereka dijangka bertemu pasangan Switzerland, Oliver Schaller-Celine Burkart di pusingan pertama kejohanan berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mahu meraih keputusan positif pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka China yang akan membuka tirai esok.
  • BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Jepun, Yugo Kobayashi-Misaki Matsutomo, di pusingan kedua semalam.
  • BEREGU campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Singapura, di sini malam ini.