SARAWAK menamatkan kempen mereka dalam Kejohanan Boling Antara Negeri ke-31 dengan menambah koleksi empat pingat emas pada hari terakhir  saingan di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, dekat sini, hari ini.

Sarawak muncul juara keseluruhan dengan mengumpul lima pingat emas, empat perak dan satu gangsa untuk mengatasi pencabar terdekat Kuala Lumpur yang mengumpul lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Negeri Sembilan berada tangga ketiga dengan dua pingat emas, lima perak dan empat gangsa.

Sarawak mempamerkan aksi konsisten untuk sekali lagi mempertahankan pingat emas acara berpasukan lelaki walaupun terpaksa bersaing dengan dua lagi pasukan hebat, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dibarisi Abang Afiq Yazid Abang Azman, Christopher Tiong, Ervin Lim Wai Mun dan Mohd Uzair Irsyad Noor Azrul, Sarawak cemerlang mengumpul 4,802 jatuhan pin untuk meraih pingat emas.

Pingat perak menjadi milik pasukan Negeri Sembilan dengan 4,579 pin, manakala Selangor mendapat pingat gangsa dengan mengumpul 4,544 jatuhan pin.

Sementara itu Abang Afiq Yazid juga muncul sebagai pemain terbaik kategori keseluruhan individu selepas mengumpul 3,731 jatuhan pin melalui tiga acara (individu, beregu dan berpasukan).

"Saya berpuas hati dengan pencapaian peribadi saya dalam kejohanan kali ini. Selepas berjaya meraih pingat emas acara perseorangan, hari ini bertambah dua lagi pingat. Sebelum ini pencapaian terbaik adalah dua pingat emas tahun lepas dalam acara beregu dan berpasukan remaja," kata penuntut jurusan Pentadbiran Awam Universiti Teknologi Mara Semarahan.

Sarawak turut mengungguli kategori wanita selepas Dayang Khairuniza Dhiyana, Nerosha Keligit, Nur Aina Kamalia Abd Ayub dan Nur Hazirah Ramli berjaya mengumpul 4,377 jatuhan pin, hanya 31 pin mengatasi saingan terdekat, Negeri Sembilan, dengan 4,346 pin.

Pingat gangsa menjadi milik kuartet Selangor dengan 4,295 jatuhan pin.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Hee Kar Yen meraih pingat emas ketiga beliau selepas muncul pemenang kategori individu keseluruhan wanita.

Pingat terakhir pasukan boling Sarawak diperolehi menerusi gandingan Dayang Yumi Azreen Abang Azman, Nur Haziqah Ramli, Asya Dania Azree dan Lavinia Kho Jia Jie dalam acara berpasukan remaja wanita.

Kuartet dari Bumi Kenyalang itu mendominasi permainan dari awal dengan mengumpul 4,679 jatuhan pin.

Bagi kategori remaja lelaki, kuartet Pulau Pinang mengutip 4,579 pin bagi menghalang dominasi Sarawak dengan kelebihan hanya 31 pin untuk meraih pingat emas.

Pingat gangsa menjadi milik pasukan Sabah dengan 4,473 jatuhan pin. - Bernama