KEHADIRAN ‘ayam tambatan’ baru Sarawak, Muamer Salibasic nyata membawa perubahan kepada Sarawak apabila skuad Ngap Sayot itu berjaya membenam Perlis 2-0 pada saingan Liga Perdana 2013 di Stadium Negeri, Sabtu lalu.

Menjadi arkitek kepada dua gol yang dijaringkan oleh Joseph Kalang Tie (minit ke-12) dan Bobby Gonzales (37’), Salibasic turut membantu Sarawak mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 13 perlawanan.

Berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh penyerang Bosnia itu, Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, Muamer telah menunjukkan kualiti sebenarnya dengan kawalan yang cantik dan banyak membantu mencipta peluang kepada rakan pasukan.

“Ini dapat kita lihat menerusi dua gol yang bermula dari gerakan bijak Muamer. Saya menjangkakan beliau akan menjadi pemain digeruni selepas ini," katanya.