PERAK kembali menemui rentak kemenangan apabila membenam juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor 3-0 pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium TLDM, Lumut malam ini.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan Gergasi Merah dan hasilnya mereka berjaya memperoleh jaringan pertama setelah pertahanan Selangor, Ashmawi Yakin melakukan kesilapan dengan menanduk masuk gol sendiri pada minit ke-20.

Kenny Pallraj tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan pada minit ke-34 setelah bijak memperdayakan barisan pertahanan Selangor, sebelum menewaskan penjaga gol, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Segalanya serba menjadi bagi skuad The Bos Gaurus apabila Gilmar Da Silva menggegarkan jaring seminit sebelum rehat untuk meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 3-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor cuba merapatkan kedudukan namun semua usaha itu berjaya dihalang  barisan pertahanan Perak dipimpin Robert Conthwaite, yang merupakan bekas pemain Selangor untuk keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.

Pada satu lagi aksi Liga Super malam ini di Stadium Hang Jebat, Melaka turut mencatat kemenangan selesa  2-0 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Gol pertama skuad Hang Tuah dijaringkan penyerang import dari Belarus, Yahor Zubovich pada minit ke-13.

Zubovich memastikan tiga mata berharga apabila meledak gol kedua Melaka pada minit ke-85, sekali gus memadamkan usaha dan semangat anak buah Abu Bakar Fadzim untuk mendapatkan gol penyamaan.

Kemenangan itu melonjakkan Melaka ke tangga keempat liga dengan mengumpul sembilan mata, sementara Perak turut mendaki empat anak tangga untuk menduduki tangga keenam dengan tujuh mata, daripada lima perlawanan. - Bernama