PENYOKONG Pulau Pinang menyambut cabaran Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan untuk menjadi pemain ke-12 hadir ke Stadium Negeri Pulau Pinang memberikan sokongan padu kepada pasukan mereka yang akan melayan kunjungan Kelantan bagi aksi ke-10 Liga Super 2017 malam ini.

Jurucakap kelab penyokong Penang Brotherhood berkata, suasana kem Harimau Kumbang berubah selepas mendapat sentuhan bekas pengendali Selangor itu dan berharap pemain akan lebih bersemangat untuk mengubah kedudukan pasukan dalam carta liga.

Menurutnya, Zainal juga secara peribadi mahu kembali membaiki hubungan bersama barisan penyokong yang agak dingin kerana memboikot menonton beberapa perlawanan di Stadium Batu Kawan sebelum ini.

"Selepas kami turun berjumpa pemain dan ketua jurulatih sendiri, kami berpuas hati malah beliau sendiri yang mahu kami terus berada di belakang pasukan pada setiap perlawanan untuk membangkitkan keyakinan semua pemain.

"Kami tengok banyak perubaaan yang dilakukan oleh Zainal malah pemain juga lebih ceria dan bersemangat berbanding sebelum ini. Kami menyeru supaya semua penyokong Pulau Pinang kembali membanjiri stadium esok (hari ini) untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Penang Brotherhood merupakan salah satu cabang kelab penyokong memboikot perlawanan sebelum ini kerana tidak setuju dengan bekas Ketua Jurulatih, Ashley Westwood yang dilihat bersifat tidak mesra penyokong dan media.

Jelas mereka, selepas Westwood digugurkan, rata-rata penyokong nampak satu impak yang agak positif walaupun baru meraih satu kemenangan.

"Beberapa tuntutan yang kita kemuka sebelum ini kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang seperti mendapatkan jurulatih baharu dipenuhi walaupun tidak semua.

Namun kami akan terus mendesak jika akan ada perkara yang memudaratkan pasukan selepas ini," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.