PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memberi jaminan bahawa pemain negara tidak akan menghadapi kesulitan menjalani latihan walaupun Stadium Juara di Bukit Kiara di sini akan ditutup sementara bagi pengubahsuaian menghadapi Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur, Ogos ini.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia akan mengarahkan penutupan Stadium Juara antara bulan ini sehingga Februari.

Katanya, beliau yakin Akademi Badminton Kebangsaan yang terletak di belakang Stadium Juara itu boleh digunakan secara berperingkat pada bulan depan.

"Sekarang ini adalah proses kerjasama dengan KBS, JKR (Jabatan Kerja Raya) serta kontraktor dalam menentukan proses penyerahan Akademi iaitu dijangka pada Februari ini.

"Kita berharap 18 gelanggang badminton sekarang ini dapat diganti dengan 18 gelanggang di akademi itu nanti. Untuk peringkat awal kami akan mendapat pejabat dan dewan badminton," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata keseluruhan fasiliti Akademi Badminton dapat digunakan pada Mac atau April ini.

Akademi lapan tingkat itu mempunyai kelengkapan seperti gelanggang badminton, gimnasium, auditorium, ruang serbaguna, pejabat serta tempat letak kereta serta asrama, mula dibina pada 3 Mac 2014.

Mohamad Norza ditemui pemberita pada majlis hak penyiaran eksklusif Astro-BAM selama lima tahun sehingga Oktober 2021.

Astro Arena akan membuat liputan komprehensif daripada kejohanan saingan domestik dan bertaraf antarabangsa di saluran Arena 801 dan 802HD serta di rangkaian Astro SuperSport dan Astro on the Go.

Melalui kerjasama itu BAM telah melantik Astro Arena sebagai rakan penyiar rasmi eksklusif di Malaysia dan Brunei seperti liputan Kejohanan Grand Prix Emas Malaysia Masters, Kejohanan Kebangsaan, Kejohanan Terbuka Malaysia Super Series, Kejohanan Remaja Terbuka Antarabangsa Malaysia dan Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohd Al-Amin berkata, perjanjian kerjasama dengan Astro Arena sejak 2010 itu telah menjadikan sukan badminton antara sukan yang paling digemari oleh rakyat Malaysia.

Pelaburan Astro Arena selama lima tahun itu dianggarkan sebanyak RM66 juta iaitu merangkumi promosi para pemain, bayaran penajaan dan penyiaran, serta kos produksi dan pemasaran. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.