BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berazam untuk mencari kejuaraan pertama pada tahun ini selepas kembali digandingkan bersama.

Beregu campuran yang meraih pingat perak di Olimpik Rio 2016 itu kini sedang beraksi cemerlang dalam kejohanan Thailand Masters yang mana mereka berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.

Peng Soon berkata, kejohanan Thailand Masters akan menjadi peluang terbaik untuknya dan Liu Ying meraih kejuaraan sulung 2018.

"Untuk masa ini, kita akan cuba sasarkan kejuaraan di Thailand Masters dan berharap ia akan berjaya. Selepas itu, saya mahu sasarkan pula kejuaraan dalam saingan Malaysia Masters,” katanya.

Pada aksi final esok, mereka akan bertemu pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul.

Dalam pada itu, menjelang Perodua Malaysia Masters yang akan membuka tirainya pada minggu hadapan, Peng Soon turut menjadikan kejohanan itu sebagai sebagai tapak mengembalikan semula keserasian dan keyakinan semasa beraksi.

“Saya dan Liu Ying perlu dapatkan semula persefahaman di atas gelanggang. Kita harap boleh beri aksi memberangsangkan. Jadi, kami mahu menunjukkan permainan terbaik di hadapan penyokong," katanya.