PEMANGKU Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh menganggap kejayaan kekal dalam saingan Liga Super tahun depan merupakan ‘episod paling menggembirakan’ di sebalik prestasi tidak menentu pasukannya sepanjang musim ini.

Sathit berkata, kemenangan 3-1  ke atas Melaka United juga disifatkan penamat paling sempurna buat skuad pantai timur itu setelah dibelenggu pelbagai masalah sejak awal musim.

Menurutnya, kejayaan tersebut turut menyentuh emosi pemain dan pegawai pasukan itu memandangkan mereka terpaksa menanti debaran sehingga ke pertemuan terakhir liga.

“Sebelum perlawanan, saya beritahu anda bahawa ia adalah misi hidup mati dan kami wajib menang ke atas Melaka. Jadi, tidak ada sesiapa boleh meramalkan sama ada kami akan kekal (Liga Super) atau tersingkir ke Liga Perdana.

“Namun kemenangan membuktikan walaupun Kelantan berdepan kemerosotan prestasi, namun kami masih layak bermain di liga utama itu pada musim depan,” katanya semalam.

Kemenangan penuh emosi di Stadium Hang Jebat itu memastikan Kelantan kekal di liga domestik utama.

Kelantan menamatkan saingan di tangga ke-11 dengan mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan, empat seri dan 11 kali kalah daripada 22 perlawanan.

Bagaimanapun, ia pencapaian terburuk dalam sejarah pasukan sepanjang beraksi di kancah liga paling berprestij sejak musim 2009.

Mengulas lanjut, Sathit berkata, semangat juang pemainnya menjadi pencetus kebangkitan pasukan biarpun tertekan setelah ketinggalan satu gol pada pertengahan babak pertama.

“Pemain saya tidak pernah putus asa, anda boleh lihat  mereka bermain mati-matian cari gol penyamaan biarpun terpaksa menunggu hingga ke minit ke-74 (jaringan Abou Bakr Al-Mel).  

“Kemasukan Celin (Alessandro) walaupun lewat namun tepat apabila dia menyumbat dua gol dalam 10 minit terakhir,” katanya.