PASUKAN bola sepak Sukma ke-19 Johor dan Terengganu diberi tempoh sehingga esok untuk menjawab insiden pergaduhan melibatkan perlawanan antara kedua-dua pasukan petang semalam.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya sudah menyerahkan surat pertuduhan kepada kedua-dua pasukan berkenaan.

“Insiden ini di bawah bidang kuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang tindakan sepatutnya diambil di mana jawatankuasa disiplin akan membuat keputusan.

“Sehingga hari ini pasukan Johor sudah memberi laporan kepada jawatankuasa disiplin FAM,” katanya ringkas menjawab pertanyaan media di Pusat Media Sukma, di sini hari ini.

Ahmad Shapawi turut melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi melibatkan sukan bola sepak dan berharap setiap pasukan mengawal emosi dan mengutamakan disiplin.

Semalam perlawanan bola sepak pasukan B berkenaan dicemari dengan layangan empat kad merah selepas tercetus pergaduhan pada masa tambahan selepas berlaku provokasi tolak menolak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Insiden gaduh cemari saingan bola sepak Sukma]