MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) penggal 2018-2022 selepas tidak dicabar oleh mana-mana individu.

Exco Belia dan Sukan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, turut menang tanpa bertanding adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Abdul Rahman Abdullah bagi jawatan Timbalan Presiden KFA selepas tarikh tutup pengesahan calon berakhir pada 28 Jun lalu.

Menurutnya, bagi jawatan Naib Presiden KFA pula berlakunya saingan lima penjuru dan pemilihannya akan diadakan pada 12 Julai sempena Kongres KFA kali ke-43 di Wisma Darul Aman, dekat sini.

"Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan paling banyak termasuklah menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden.

"Jawatan timbalan presiden juga menang tanpa bertanding iaitu Abdul Rahman dan keseluruhan keputusan pemilihan akan diumumkan pada 12 Julai ini dan selepas itu barulah penstrukturan semula KFA akan dilakukan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Asmirul berkata, proses demokrasi dibuka seluas-luasnya apabila menyaksikan 24 calon turut bertanding untuk merebut posisi Exco KFA bagi penggal empat tahun akan datang.

Tambahnya, beberapa bekas pemain turut mengesahkan untuk bertanding termasuk wakil dari kelab penyokong Kedah.

"Bekas-bekas pemain juga terlibat dan bertanding untuk kedudukan exco kali ini termasuk kelab penyokong diberi ruang sama untuk menyumbangkan kepada bola sepak Kedah," katanya.

Nama lima calon naib presiden tular sejak semalam yang memperlihatkan hanya Dato Jeffrey Low Han Chow berusaha mempertahankan jawatannya itu manakala empat lagi adalah Presiden Bekas Pemain Bolasepak Kedah (KEFA), Khamal Idris Ali diikuti Anas Hafiz Mustaffa, Yusuri Yusof dan Mohamed Shariff Nawab.

Bagi jawatan exco pula, beberapa nama pada penggal lalu juga turut tersenarai mahu mempertahankan jawatan mereka antaranya adalah Shaharol Niza Omar, Shaferi Rejab dan Nesar Ahmad Khan Rafi Ahmad Khan.

Bagi kuota exco wanita pula menjadi milik Norzaihana Mohd Zain apabila menang tanpa bertanding.