MAJLIS Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam - Urus setia Belia dan Sukan (MPKB BRI-UBeS) FC sekali lagi mengekalkan prinsip patuh syariah pada penampilan kedua mereka dalam saingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pendekatan tersebut selari dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai asas dalam kehidupan rakyat di negerinya.

Menurutnya, pemain dan pegawai bukan sahaja diwajibkan memakai pakaian menutup aurat bahkan dilarang merokok bagi menjaga imej dan nama baik pasukan tersebut. 

“Kita sememangnya ke arah (mengekalkan patuh syariah) itu kerana kita hendak mendisiplinkan pemain agar menutup aurat, mempunyai akhlak yang baik dan bermain dengan sepenuh semangat kesukanan. “Dalam masa sama, mereka akan bertindak selaku duta untuk mempromosikan negeri ini apabila beraksi di luar Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pasukan MPKB BRI-UBeS FC di Kota Bharu, malam kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood; Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah;  Yang Dipertua MPKB BRI, Datuk Zamri Ismail dan barisan pemain serta pegawai pasukan berkenaan.

Pada majlis itu, pasukan MPKB BRI-UBeS FC turut menerima tajaan kelengkapan pakaian sukan daripada Gomogi Premium Resources bernilai RM100,000 yang disampaikan Ketua Pegawai Operasinya, Mahizi Mahmood.

Menurutnya, penyertaan pasukan berstatus kelab dalam saingan liga kelas ketiga membuktikan kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha membangunkan sukan bola sepak termasuk melahirkan pemain pelapis negeri itu, untuk masa hadapan.  

“Sejarah MPKB bermula pada tahun 1983 apabila menjadi pasukan disegani namun terpaksa berhenti kerana tidak ada kesinambungan ketika itu. Jadi, kali ini kita beri galakkan kepada MPKB BRI dan UBeS dengan kerajaan negeri sedia membantu.

“Kalau banyak kelab (dari Kelantan sertai liga), itu lebih baik kerana ada persaingan secara sihat. Malah saya sendiri mengharapkan lebih ramai pemain berkualiti sebab anak-anak muda ini kalau kita didik mereka, Insya-ALLAH saya rasa boleh ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.