KEDUDUKAN Pulau Pinang yang kini bergelut untuk kekal di Liga Super musim depan bukan sahaja mendapat perhatian ramai malah melibatkan bekas pemain dan jurulatih yang pernah bersama Harimau Kumbang sebelum ini.

Berada di tangga tercorot Liga Super 2017 dengan hanya memungut  12 mata selepas 18 perlawanan setakat ini, ramai melihat nasib skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu bagaikan telur di hujung tanduk.

Bagaimanapun kejayaan mengejutkan pasukan di tangga ketiga liga, Pahang 2-0 pada minggu lalu di Stadium Batu Kawan kembali memberi harapan bahawa skuad tersebut mampu terus melakukan kejutan jika berjaya mengekalkan prestasi semasa.

Bekas Ketua Jurulatihnya, Merzagua Abderrazak berkata, beliau akui terkejut dan sedih dengan perkembangan semasa pasukan itu dan masih berharap Pulau Pinang akan kekal dan bersaing di liga utama negara pada 2018.

Menurutnya, Harimau Kumbang kini sangat memerlukan sokongan pemain ke-12 iaitu penyokong setia mereka untuk terus memberi motivasi agar mampu memberikan saingan lebih sengit pada baki empat perlawanan liga musim ini.

“Sekali lagi saya melihat Pulau Pinang perlu bergantung kepada usaha sendiri sepenuhnya pada baki saingan liga termasuk sedikit tuah dan dengan izin Tuhan untuk melihat pasukan tidak tersingkir ke Liga Perdana musim hadapan.

“Sudah tentu saya sedih dengan situasi ini kerana Pulau Pinang merupakan sebuah pasukan utama dan mendapat perhatian terutamanya pada era 90-an. Saya sangat berharap ia akan menjadi pengajaran kepada pengurusan untuk membuat persiapan lebih rapi sebelum saingan 2018 bermula,” katanya kepada Sinar Harian melalui aplikasi Facebook Messenger.

Bekas legenda itu beraksi pada zaman kegemilangan Harimau Kumbang pada penghujung 90-an dan kembali sebagai jurulatih membantu mereka muncul juara Piala FAM 2013.

Namun jurulatih kelahiran Maghribi ini terpaksa mengosongkan jawatan kerana tidak memiliki Lesen jurulatih A untuk mengendalikan pasukan di saingan Liga Perdana pada 2014.

Beliau yang masih mengikuti perkembangan semasa pasukan itu mahu Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) membuat persiapan awal dan juga pelan jangka masa panjang bagi memastikan prestasi terumbang-ambing sejak beberapa tahun lalu tidak berulang lagi.

“Selepas terpaksa melepaskan jawatan jurulatih pada 2014,  sejak itu saya terus mengikuti perkembangan semasa pasukan ini dan mendapati begitu banyak faktor yang menyumbang kepada prestasi tidak menentu pasukan antaranya persiapan lambat dan pemilihan pemain tidak tepat yang gagal bersaing di peringkat tertinggi Liga Malaysia,” katanya.