NURSHAMIL Abdul Ghani sekali lagi menjadi penyelamat Melaka United apabila gol beliau pada minit-minit akhir perlawanan membolehkan Melaka United mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Kuantan FA.

Memulakan perlawanan dengan agak agresif, Melaka United hampir memperoleh gol awal menerusi Ilija Spasojevic.

Menerima hantaran lintang dari Labinot Harbuzi, Spasojevic mendada bola sebelum melepaskan tendangan tepat ke dakapan penjaga gol Kuantan FA, Mohd Zairi Hafiezi.

Peluang terbaik Melaka United tiba seminit kemudian.

Bagaimanapun, rembatan Jasmir Mehat yang berjaya menewaskan Mohd Zairi berjaya diselamatkan di atas garisan gol oleh pertahanan Kuantan FA.

Serangan-serangan awal Melaka United ini akhirnya membuatkan hasil apabila pada minit kelapan menerusi sepakan sudut See Kok Luen, Spasojevic berjaya menewaskan Mohd Zairi.

Ketangkasan Mohd Zairi di gawang Kuantan FA banyak menyelamatkan Kuantan FA daripada terus dibolosi sehingga memaksa Melaka United terpaksa berpuas hati dengan jaringan 1-0 ketika tamat separuh masa pertama.

Permulaan separuh masa kedua menyaksikan Kuantan FA bermula garang sehingga memaksa Melaka United banyak bertahan.

Hasilnya, pada minit ke-51 menerusi satu lontaran ke dalam oleh Ljubo Baranin, Kuantan FA berjaya membolosi gawang Melaka United untuk gol penyamaan mereka.

Tersentak dengan gol berkenaan, Melaka United terus mengasak ke gawang Kuantan FA dengan menggunakan kelajuan Jasmir di bahagian sayap.

Pada minit ke-56 gol penyamaan yang dicari Melaka United diperolehi juga apabila Spasojevic sekali lagi menewaskan Mohd Zairi untuk gol peribadi keduanya.

Gol penyamaan itu sama sekali tidak melunturkan semangat juang pemain Kuantan FA apabila pada minit ke-80 Abdul Malik Mat Arif berjaya menewaskan penjaga gol Melaka United, Syazwan Yusoff, untuk sekali lagi mengikat pasukan tuan rumah.

Kemasukan Nurshamil Abdul Ghani pada minit ke-85 kembali menyuntik semangat buat Melaka United yang sudah semakin hilang konsentrasi di atas padang.

Keyakinan Ketua Jurulatih, Mat Zan Mat Aris memasukkan Nurshamil dibalas pemain berkenaan pada minit ke-88 dengan menjaringkan gol kemenangan Melaka United.