JENTERA serangan berbisa Liverpool, Sadio Mane mengakui bertuah bergandingan dengan Mohamed Salah dan Roberto Firmino dibahagian hadapan dan akan terus mempamerkan ketajaman penyudahan  dalam misi membenam Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara.

Jelasnya, dia gembira tetapi sebagai penyerang sudah tentu  mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan untuk membantu pasukan.

“Saya harap lebih banyak gol akan dijaringkan,” kata pemain Senegal yang berusia 26 tahun itu dan juga pemain termuda dalam trio peledak berbisa Liverpool musim ini.

Penyerang Liverpool itu meledak 19 gol musim ini dan mahukan lebih lagi menjelang pertemuan Reds dengan juara bertahan itu untuk merebut gelaran Eropah di Kiev Sabtu ini.

Rakan gandingannya Salah mendahului dengan 44 gol manakala Firmino menjaringkan 27 gol dalam semua kejohanan.

Pada masa sama, Mane turut menyifatkan kejayaan yang diraihnya kini banyak dibantu rakan sepasukan yang turut memainkan peranan penting bagi memastikan kemenangan pasukan.

“Saya sentiasa seronok dapat bermain dengan pemain hebat, mereka menjadikan segala-galanya lebih mudah bagi saya. Saya sungguh bertuah.

“Namun kami sentiasa bercakap mengenai tiga penyerang utama. Jangan lupa ia bermula dengan pemain di belakang. Mereka menjadikannya lebih mudah. Kami sentiasa melakukannya bersama-sama, itulah kekuatan kami,” katanya.