MALAYSIA memiliki peluang cerah untuk mara ke pentas akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 apabila menewaskan Pakistan 3-2 dalam perlawanan peringkat ‘Super Four’, di Dhaka, Bangladesh semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung sengit dan tegang ​​​​​​itu, Pakistan terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit pertama perlawanan menerusi Umar Bhutta.

Namun, skuad negara di bawah bimbingan jurulatih Stephen Van Huizen bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-10.

Pasukan yang berada di ranking ke-14 dunia itu, sekali lagi berada di hadapan selepas Muhammad Yaqoob menewaskan penjaga gawang negara, S. Kumar pada minit ke-19 sebelum Shahril Saabah menyamakan kedudukan pada minit ke-25.

Skuad ‘Malaysian Tiger’ yang berada di ranking ke-12 dunia, kemudian dihadiahkan pukulan penalti ekoran tindakan penjaga gol Pakistan, Mazhar Abbas mengasari Haziq Samsul.

Fitri Saari yang kembali ke Dhaka semalam, selepas pulang ke tanah air ekoran anaknya dirawat di Hospital Selayang, mengesahkan kemenangan skuad negara selepas menyempurnakan pukulan itu pada minit ke-34.

Malaysia akan berdepan India yang kini berada di ranking keenam dunia, pada perlawanan esok.

Pada satu lagi perlawanan peringkat ‘Super Four’ hari ini, Korea Selatan mengikat India 1-1. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.