PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) tidak bercadang untuk menambah pemain import kelima untuk pasukan pada permulaan musim 2018.

Naib presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad menjelaskan, kekangan kewangan mungkin menjadi penghalang buat masa ini, namun beliau tidak menolak kemungkinan akan berusaha mencukupkan kuota lima pemain import pada jendela perpindahan kedua nanti.

“Setakat ini saya puas hati dengan empat pemain import yang kita ada, jadi kita belum ada sebarang perancangan untuk tambah buat masa ini.

“Kita harus melihat daripada pelbagai sudut seperti kewangan, bajet dan sebagainya.

“Jadi, jika kita tak dapat tambah di permulaan musim, mungkin kita akan teliti sewaktu jendela perpindahan kedua nanti,” katanya.

Mengulas persiapan pasukannya menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018, Abdul Rauf mengakui berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan.

Beliau yakin, dengan kehadiran pemain import baharu digandingkan bersama pemain muda dan senior, Selangor mampu mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya berada di lima pasukan terbaik Liga Super.

"Selain letak sasaran top 5 atau top 3, kami juga mengharapkan dapat julang satu piala, yang mana Piala FA akan menjadi keutamaan kami terlebih dahulu memandangkan saingan Piala Malaysia masih jauh lagi," katanya.