SEMUA pasukan yang bertanding dalam musim kedua Liga Bolasepak Rakyat (LBR) bakal menerima jersi disediakan penganjur mengikut tema negeri masing-masing.

Pengerusi LBR, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman berkata, pengurusan membuat keputusan itu sebagai langkah menampilkan identiti liga tersebut selain memastikan komitmen terhadap penaja.

Menurutnya, jersi tersebut akan diberikan kepada 108 pasukan bertanding yang akan dipecahkan kepada tujuh zon, lima di Semenanjung Malaysia serta dua di Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, langkah tersebut juga dilihat mampu mengurangkan kos setiap pasukan namun dalam masa sama turut membenarkan mereka memakai jersi pasukan sendiri.

"Selain dua set jersi pemain (tempat sendiri dan tempat lawan) serta penjaga gol, setiap pasukan juga dibekalkan dengan peralatan jenama LBR termasuk beg galas, beg pasukan serta pakaian untuk pegawai pasukan.

"Inilah identiti yang LBR mahu peragakan dalam usaha menjenamakan liga ini sebagai satu pentas mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi.

"Dengan adanya pelbagai warna mengikut negeri masing-masing, ia dijangka akan menceriakan dan memeriahkan lagi kejohanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Jersi LBR Musim 2016/2017 dan Penyerahan Kit Pasukan LBR di Kuala Kangsar, malam semalam.

Sementara itu, Shamsul Anwar berkata liga tersebut menyasarkan 100 pemain dalam musim kedua kejohanan itu menerobos ke peringkat lebih tinggi dalam arena bola sepak negara.

Ujarnya, seramai 50 pemain dalam liga itu pada musim lepas berjaya mengembangkan karier mereka dengan menjadi pemain profesional untuk beberapa pasukan.

"Daripada 4,928 pemain pada musim lepas, 50 pemain berjaya menempatkan diri dalam liga yang lebih tinggi termasuk seorang pemain dari Temerloh yang kini beraksi di Liga Perdana.

"Jadi, ini adalah tujuan kami mengadakan liga ini, untuk menyediakan peluang buat pemain menunjukkan bakat mereka di peringkat amatur.

"Kalau boleh kita mahu setiap daerah sekurang-kurangnya melahirkan seorang pemain profesional. Musim ini kita sasarkan dapat lahirkan 100 pemain sebegitu," ujarnya.