PENDAHULU LIGA, Kuala Lumpur berpesta gol selepas membenam wakil Pahang, Kuantan FA 6-3 pada aksi Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Kemenangan ke-11 daripada 16 perlawanan menyaksikan skuad 'The Hawks’ terus mengungguli carta Liga Perdana dengan kutipan 35 mata.

Enam gol pasukan Kuala Lumpur dijaringkan oleh  Muhammad Hafiz Mohd Johar pada minit ke-16, Paulo Dos Reis (minit ke-52 dan 79') serta jaringan hatrik pemain import dari Brazil, Guilherme de Paula pada minit ke-68, 77' dan 83'.

Skuad 'The Seagulls’ pula meraih tiga gol menerusi ljubo Baranin pada minit ke-25 dan minit ke-86 serta Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-88.

Terengganu pula memintas kedudukan Negeri Sembilan di tangga kedua liga selepas menang bergaya 4-0 ke atas pasukan bawahan liga, Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Empat gol skuad Penyu dijaringkan oleh Gabriel Davis Dos Santos pada minit ke-26, Tchetche Hermann Brice Kipre (minit ke-42), Lazaro Vinicius Martins Alves (minit ke-48) dan Mohd Ridzuan Abdunloh Pula pada minit ke-79.

Turut meraih tiga mata adalah pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh.

PKNP FC bagaimanapun berada di depan menerusi jaringan Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-44 sebelum JDT II bangkit meraih dua gol hasil sentuhan penyudah dua pemain import mereka iaitu Samuel Catalino Caceres Arza pada minit ke-63 dan Jeronimo Barrales pada minit ke-77.

Dalam pada itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka.

ATM membuka tirai jaringan menerusi Mohd Rafizol Roslan pada minit keenam sebelum  PDRM  menyamakan  kedudukan menerusi pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin pada minit ke-27.

Terdahulu, ATM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohamad Noraiman Talib dilayangkan kad merah selepas mengasari Muhammad Safuwan pada minit ke-80.

Sabah pula kembali meraih kemenangan setelah menang tipis 1-0 ke atas pasukan UiTM FC hasil jaringan Rodoljub Paunovic pada minit ke-68 pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam.

Satu lagi aksi menyaksikan MISC MIFA dan Negeri Sembilan berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan di Stadium Proton, Tanjung Malim. - Bernama

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TIDAK banyak yang diharapkan oleh K Devan ketika Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) bertemu Felcra FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.
  • PENAJA utama dua pasukan kelab dari Terengganu yang beraksi dalam Liga FAM, Tulangis Group melahirkan keyakinan skuad Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC mampu melangkah ke Liga Perdana pada musim 2019.
  • KETUA jurulatih pasukan bola sepak Perlis, Manja Man menyasarkan untuk membawa pasukan bimbangannya itu ke Liga Perdana pada musim 2019.
  • KUANTAN FA bakal berwajah baru apabila dikhabarkan akan diambil alih pengurusan baru bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.
  • PENGURUSAN Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) ditempelak selepas Harimau Kumbang tersingkir ke Liga Perdana musim depan walaupun menerima peruntukan RM34.5 juta daripada kerajaan negeri untuk kempen Liga Super musim ini.