JUARA dua kali, Korea Selatan muncul pasukan pertama mengesahkan tiket ke suku akhir Kejuaraan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 setelah membelasah Afghanistan 7-0 pada aksi kedua Kumpulan D di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),  malam ini.

Kemenangan kedua berturut-turut itu menyaksikan skuad muda Pahlawan Taeguk mengutip enam mata, setelah menang selesa 3-0 ke atas Australia pada aksi pembukaan Kumpulan D, sebelum ini.

Pada aksi malam ini, Korea Selatan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ahn Gin Hun pada minit ke-22 sebelum beliau meledak gol peribadi kedua pada minit ke-35, hasil kesilapan pertahanan Afghanistan.

Korea Selatan menambah gol ketiga pada penghujung babak pertama perlawanan selepas pemain Afghanistan, Esmatullah Kazimi menolak masuk bola ke dalam gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran silang pemain Korea Selatan, Lee Tae Seok dan keputusan 3-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa perlawanan.

Sebaik perlawanan bersambung, Korea Selatan memperoleh gol keempat pada minit ke-46 menerusi tandukan Paik Sang Hoon hasil hantaran Lee Tae Seok sebelum pemain gantian, Jeong Sang Bin menambah derita pasukan Afghanistan menerusi gol kelima pada minit ke-58 setelah memanfaatkan hantaran silang Hong Yun Sang.

Sang Bin mencipta gol peribadi kedua, selang lima minit kemudian sebelum Yun Sang menjaringkan  gol ketujuh Korea Selatan pada minit ke-66 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Terdahulu, Australia mengatasi juara bertahan, Iraq 2-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya, petang tadi.

Korea Selatan akan melengkapkan aksi pusingan awal menentang Iraq di Stadium Arena Universiti Malaya, manakala Afghanistan berdepan Australia di Stadium MBPJ, Jumaat ini. - Bernama