PENGGUNAAN kembali warna keramat iaitu merah pada jersi pasukan The Red Warriors (TRW) musim ini diharapkan menjadi satu permulaan yang baik kepada pasukan itu selepas ini.

Selain itu, warna biru pula dipilih untuk digunakan semasa kunjungan ke tempat lawan, dan ia diperagakan oleh barisan pemain Kelantan dalam satu majlis penuh gemilang di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu, di sini.

Dalam majlis yang sama juga 31 pemain yang akan membarisi pasukan Kelantan untuk saingan musim ini juga turut diperkenalkan, termasuk empat pemain import yang bakal menggegarkan lagi stadium Sultan Muhammad IV untuk aksi pertama malam esok.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, namun sehingga saat akhir semalam, Kelantan tetap berjaya membawa masuk tiga awang import iaitu Mamadou Danso, 33 (Gambia), Alessandro Celin, 27 (Brazil) dan bekas penyerang TRW musim 2012 dan 2014 Mohammed Ghaddar, 33 (Lubnan), selain Margano Gomis dari Senegal.

Manakala pemain tempatan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Mohamad, Mohd. Farisham Ismail dan beberapa lain masih tetap lagi membarisi pasukan pahlawan merah ini.

Selain itu, Kelantan turut membawa masuk pemain tempatan baharu iaitu Mohammad Ab Aziz Ismail (Melaka United), S.Subramaniam (Selangor), S Thinagaran (ATM), Hattaphon Bun An (Kuala Lumpur FA) serta empat tonggak dari skuad Piala Presiden.

Majlis pelancaran jersi itu juga turut disempurnakan oleh Penaja Utama TRW, Tan Sri Annuar Musa dan dihadiri oleh barisan penaja yang diketuai oleh Kumpulan Al Hamra, Syarikat telekomunikasi RedOne, Yakult, Chengal Jati, Moccis Furniture, Puspamara, Sinar Harian, Ekspres Mutiara dan Glow Glowing Skin Care.