PERTAHANAN Hijau Kuning, Bang Seung Hwan membantu pasukannya menewaskan Selangor 1-0 pada aksi Liga Super 2016 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kedah mendapat peluang menggempur kubu Selangor seawal minit keenam yang jelas memperlihatkan kemahuan mereka untuk memburu gol awal.

Bagaimanapun The Red Giant berjaya menyeimbangkan perlawanan dan berusaha melakukan asakan ke kubu tuan rumah yang dikemudi ketua pasukan, Khairul Helmi Johari.

Percubaan oleh Liridon Krasniqi melalui sepakan percuma pada minit ke-18 sekadar melepasi palang gol pelawat.

Pertahanan import Selangor, Ugochukwu Ukah hampir menjaringkan gol sendiri pada minit ke-30 dalam usaha menghalang hantaran Liridon namun sempat diselamatkan penjaga gol pelawat, Norazlan Razali.

Seminit separuh masa  kedua bermula, Bang Seung Hwan menceriakan lebih 10,000 Hijau Kuning apabila menanduk masuk gol sepakan percuma Syazwan Zainon untuk meletakkan Kedah di hadapan 1-0.

Jaringan tersebut bagaikan membakar semangat Kedah untuk menambah jaringan dan Syazwan hampir melakukannya pada minit ke-58 namun percubaannya terkena kaki penjaga gol pelawat.

Terkejut dengan asakan tuan rumah, pelawat kembali memperkemaskan benteng pertahanan dan melakukan serangan.

Aksi menarik dipamerkan oleh kedua-dua pasukan pada 20 minit terakhir namun keputusan semasa 1-0 kekal sehingga wisel penamat.