IPOH - PKNP FC dijangka boleh menurunkan pemain import, Karl Maxx Danny mulai saingan Piala Malaysia kelak.

Ketua jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim berkata, pemain kelahiran Chad itu masih menjalani rawatan pemulihan berikutan kecederaan yang dialaminya.

“Setakat ini Karl Maxx masih lagi menjalani rawatan dan dimaklumkan sudah 75% pulih.  Kita juga akan cuba untuk percepatkan lagi proses pemulihannya.                                                     

“Jadi, kita harapkan agar dia sempat sembuh dan kita boleh turunkan pada saingan Piala Malaysia nanti,” katanya.

Untuk rekod, Karl  Maxx adalah pemain import yang di bawa masuk pada musim perpindahan pemain kedua Jun lalu.

Bagaimanapun setelah beraksi cemerlang pada aksi persahabatan, pemain berkenaan mengalami kecederaan serius sehingga tidak dapat diturunkan pada saingan pusingan kedua Liga Super lalu.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, sasaran PKNP bagi saingan Piala Malaysia kali ini juga bergantung kepada tahap kecergasan pemain berkenaan.

Katanya, kecergasan pemain berkenaan dilihat penting kerana kehadirannya mampu mewujudkan keseimbangan pada jentera serangan pasukan.

“Kita memang seimbang dan kuat di bahagian pertahanan, tetapi kita ketandusan penyerang dan tak salah kalau saya katakana jentera serangan  PKNP memang tidak digeruni lawan.

“Oleh itu, kita memang perlukan seorang penyerang dan kita menunggu pemain Karl Maxx bagi menambah sengat pada jentera serangan PKNP,” katanya.