KURANG 48 jam sepak mula musim 2017, kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan pelantikan jurulatih baharu untuk mengemudi pasukan itu.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards berkata, jurulatih kelahiran Mexico, Benjamin Mora dipilih untuk memimpin skuad itu yang sebelum ini merupakan jurulatih pasukan JDT II.

Pelantikan itu dibuat susulan pengunduran Mario Gomez dari skuad Harimau Selatan yang dipimpinnya sejak April 2015.

"Ia bukan sesuatu keputusan yang mengejutkan kerana beberapa siri perbincangan telah berlangsung sejak berbulan lalu antara Mario dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Tunku Ismail.

"Mora adalah sebahagian daripada keluarga JDT ia merupakan sebahagian pelan jangka panjang JDT dan meneruskan falsalah pasukan," katanya pada sidang media, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di Johor Bahru, hari ini.

Mora, 51, merupakan jurulatih kelahiran Mexico memiliki pengalaman luas melatih beberapa kelab di Mexico seperti Cafetaleros, Guerreros, Gallos Blancos dan Atlante.

Beliau seterusnya dibawa untuk membimbing JDT II, Disember 2015 dan telah dihantar untuk mendapat bimbingan kejurulatihan di Atletico Madrid, selama sebulan pada November lalu.

Mora yang memulakan tugasnya pada sesi latihan pasukan hari ini manakala JDT II akan dipimpin Hamzani Omar.

Alistair berkata, perubahan tersebut diterima baik pemain.

Terdahulu, Presidennya, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim mengesahkan status Gomez untuk tidak bersama JDT musim 2017.

"Saya ingin membuat satu pengumuman bahawa Kelab JDT dan Mario Gomez telah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing.

"Keputusan ini dibuat demi kebaikan kelab kerana falsafah dan matlamat kelab lebih penting dari segala-galanya," katanya.

Tunku Aminah mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada jurulatih tersebut diatas sumbangan besar membawa JDT menjuarai Piala Sumbangsih (2016), Piala FA (2016), dua kejuaraan liga (2015 dan 2016) dan Piala AFC pada tahun 2015.