JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membelasah Melaka United 3-0 dalam aksi Liga Super 2018 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama apabila menghasilkan jaringan pertama menerusi tandukan kencang Luciano Figueroa pada minit ke-12.

Gol kedua skuad Harimau Selatan terhasil menerusi percubaan cantik Jorge Pereyra Diaz yang mudah menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Muhd Zamir Selamat pada minit ke-20.

Naxto Insa turut mencetak nama selaku penjaring JDT apabila merembat kencang dari arah kanan gawang Melaka United, sekali gus menghasilkan gol ketiga pada minit ke-34.

Bermula separuh masa kedua, pasukan bimbingan Ulisses Morais memperlahankan tempo permainan, namun kekal menguasai bola dan permainan.

Sehingga berakhir perlawanan, keputusan 3-0 tidak berubah tanpa sebarang jaringan oleh kedua-kedua pasukan.