PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Idris Haron kecewa dengan prestasi hambar pasukan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia, sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, semua pihak, sama ada pengurusan mahupun pemain Melaka United perlu mengambil inisiatif memperbaiki segala kelemahan jika tidak mahu dianggap sebagai pasukan belasahan.

"Kita tidak mahu pasukan lawan beranggapan Melaka United adalah pasukan belasahan, dan mereka pasti akan menang setiap kali bertemu kita. Justeru, semua pihak perlu memandang serius bagi memperbetulkan keadaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Terbaharu, Melaka United gagal menempah slot ke suku akhir Piala FA 2017 selepas tewas 0-2 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lepas.    

Sementara dalam saingan Liga Super, skuad Sang Kancil kini berada di kedudukan ke-10 selepas mengutip lapan mata daripada lapan perlawanan.

Mengulas dakwaan bahawa terdapat bookie yang mengatur perlawanan membabitkan pasukan Melaka United, Idris berkata dakwaan tersebut perlu disiasat bagi mengetahui kebenarannya.

"Ini rasuah yang tidak boleh diterima, mesti dinyahkan oleh pihak pengurusan...laporkan kepada pihak berkuasa dan ambil tindakan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

"Saya akan pastikan siapa yang mempunyai agenda menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah seperti mengatur permainan, saya akan pastikan mereka berdepan tindakan undang-undang. Ini amaran keras daripada saya," tegasnya. - Bernama

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGENDALI Melaka United, Eduardo Almeida gembira apabila pasukannya mencatatkan kemenangan berharga 3-2 ke atas Kelantan pada saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Kota Bharu, malam kelmarin.
  • PELUANG Kelantan untuk melayakkan diri ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini hampir tertutup setelah tunduk 2-3 kepada Melaka United, pada aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
  • THE Red Warrior gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia selepas kecundang 0-3 kepada juara Liga Perdana musim lalu, Melaka United, di Stadium Hang Jebat malam tadi.
  • KETUA jurulatih pasukan bola sepak di negara ini diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan negatif terutamanya berbaur hasutan sekiranya tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.
  • SKUAD Rusa tewas dengan jaringan 2-3 kepada Sang Kancil dalam perlawanan yang cukup mendebarkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.