KESILAPAN di panahan ketiga pada 'end' kedua telah menjejaskan peluang pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad merebut pingat emas pertama skuad memanah recurve di Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ekoran kesilapan tersebut, Khairul Anuar terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada pemanah Vietnam, Chu Duc Anh dengan mata 6-2 pada aksi final acara recurve individu di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini.

"Kalau semua perasan, saya ada turunkan anak panah sekejap. Ada sesuatu di hujung anak panah itu, saya tidak pasti apa yang terlekat di hujung anak panah itu, mungkin jerami.

"Tapi disebabkan masa telah terlalu suntuk, hanya tinggal sembilan saat lagi, saya terpaksa lepaskan panahan juga. Begitu juga di panahan 'end' keempat," katanya kepada media selepas saingan itu.

Disebabkan kesalahan itu, Khairul Anuar hanya mendapat tujuh mata pada panahan tersebut, sekali gus ketinggalan 3-1.

Terdahulu, Khairul Anuar cemerlang apabila berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Sea Singapura, Witthaya Thamwong di saingan separuh akhir.

Khairul Anuar, bagaimanapun bertekad mempertahankan pingat emas acara recurve berpasukan yang dimenangi di Singapura, dua tahun lepas, esok.

Dalam pada itu, pemanah wanita negara, Nur Aliya Ghapar terpaksa akur dengan pingat gangsa acara recurve individu selepas menewaskan pemanah Myanmar, Thida Nwe, dengan mata 6-0.

Tidak meletakkan sebarang sasaran bagi acara berpasukan esok, Nur Aliya yang menjangkka saingan sengit dari pasukan Vietnam, komited melakukan yang terbaik bagi memperbaiki keputusan di Singapura iaitu pingat gangsa.

Kali terakhir pemanah recurve individu wanita berada di podium Sukan SEA adalah pada 2009 di Laos apabila Malaysia meraih pingat perak melalui S.Anbarasi.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEKECEWAAN gagal menyarung jersi skuad negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu masih lagi membayangi pemain sepak takraw kebangsaan Ahmad Fadzil Mustafa.
  • SKUAD boling padang negara meneruskan rentak kecemerlangan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia ke-12, semalam.
  • ATLET olahraga Paralimpik negara, Faridul Masri membuktikan saiz fizikal yang kecil bukan penghalangnya untuk menghadiahkan pingat emas dalam acara melontar peluru F56 (kecacatan anggota kaki) di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
  • MOHAMAD Ridzuan Mohamad Puzi menterjemahkan semangat luar biasa apabila melawan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk mengutip emas dalam acara 200 meter T36 (cerebral palsy), Sukan Para Asean Ke-9 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
  • JAGUH Paralimpik negara, Abdul Latif Romly tidak berpuas hati sekali pun menepati ramalan meraih pingat emas lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) Sukan Para Asean Ke-9 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.